- Iklan -
Berita

Persoalan berhubung kerjasama GPS-PH menjelang pilihan raya negeri

Dengan berakhirnya pilihan raya umum baru-baru ini, persoalan kini tertumpu adakah kedua-dua gabungan itu akan meneruskan kerjasama mereka di peringkat negeri.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Bendera Gabungan Parti Sarawak berkibar di Sungai Sarawak di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri.
Bendera Gabungan Parti Sarawak berkibar di Sungai Sarawak di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri.

Penganalisis berbeza pendapat mengenai dinamik politik Sarawak selepas membentuk kerajaan campuran di peringkat persekutuan, apabila Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) masih belum memutuskan mengenai kerjasama politik bagi berdepan pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Penganalisis politik, James Chin daripada Universiti Tasmania, Australia berkata, ketika ini DAP dan PKR, dua komponen utama PH itu akan menjadi “separa pembangkang” dan mengambil tugas memerhatikan urusan kerajaan. 

"Mereka tidak akan menutup parti mereka di Sarawak kerana ada PRN. PH berharap untuk membentuk kerajaan Sarawak satu hari nanti. 

“Jika tutup, mereka tiada jentera dan tidak mampu melawan GPS," katanya kepada MalaysiaNow.

GPS terdiri daripada bekas parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sarawak, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Parti Demokratik Progresif, Parti Rakyat Bersatu Sarawak serta Parti Rakyat Sarawak.

Mereka mempunyai 23 ahli Parlimen dan membentuk kerajaan pusat bersama PH, BN dan parti-parti lain. 

Menurut Chin, antara syarat tidak rasmi sokongan GPS kepada Anwar ialah tiada jawatan Kabinet diberikan kepada DAP Sarawak. 

Ia meskipun Setiausaha Agung DAP Anthony Loke terbang ke Sarawak dan bertemu Premier Sarawak, Abang Johari Openg bagi memohon maaf kepada GPS bagi pihak parti tersebut. 

Sebelum itu, GPS menyokong Perikatan Nasional (PN) sebelum beralih kepada PH selepas tiada gabungan memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas. 

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen sebelum ini berkata parti itu akan memainkan peranan semak dan imbang di peringkat kerajaan negeri, satu isyarat bahawa PH tidak akan diterima sebagai kerajaan di peringkat negeri itu. 

GPS menang besar pada PRN lalu dengan 76 kerusi daripada 82 kerusi dipertandingkan.

Baki kerusi dimenangi oleh Parti Sarawak Bersatu (PSB) dengan empat kerusi, DAP (2) dan PKR gagal mendapatkan sebarang kerusi. 

Di Melaka, ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PH secara rasmi menyertai blok kerajaan. 

Kedudukan Adun BN di negeri yang dipegang PH masih menjadi tanda tanya, sama ada mereka masih di blok pembangkang atau kerajaan.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Awang Azman Pawi berkata, PH dan GPS dijangka mengadakan persetujuan dan formula untuk memastikan kerjasama politik di peringkat negeri. 

Ia termasuk pembahagian kerusi antara kedua-dua gabungan itu yang mana mereka dijangka mengekalkan kerusi yang telah dimenangi. 

"Kerusi yang tak dimenangi oleh PH dan GPS seperti kerusi Saratok yang dimenangi Ali Biju, tertakluk kepada formula undi kedua besar layak untuk bertanding di Saratok.

"Jadi tak timbul isu bahawa PH akan beri laluan kepada GPS sama ada di peringkat PRN atau PRU. Sebaliknya akan menggunakan formula yang lebih menyakinkan bagi kerjasama jangka panjang bagi memastikan tidak ada perbalahan perebutan kerusi," katanya.

Namun sementara menunggu PRN seterusnya, Azman berkata DAP dan PKR memang wajar menjadi pembangkang  di Sarawak bagi memastikan semak dan imbang.

Chin pula berkata, kerjasama antara GPS dan PH bergantung kepada keutuhan kerajaan peringkat pusat. 

Katanya, PH yang kekal sebagai blok pembangkang di peringkat negeri bukan satu perkara janggal, malah pernah terjadi sebelum ini.

"Lewat 1980-an, Parti Bangsa Dayak Sarawak menjadi pembangkang di peringkat negeri tetapi membentuk kerajaan persekutuan. 

“Tidak pelik PH menjadi pembangkang Sarawak sementara GPS mentabdir," katanya. 

Sekiranya PH dan GPS berjaya membentuk kerjasama pada PRN akan datang, persoalan juga timbul mengenai siapa yang akan mengisi kekosongan sebagai pembangkang. 

Menurut Chin, parti yang menyokong pemisahan Sarawak daripada Malaysia seperti Parti Bumi Kenyalang, tidak menerima sambutan. 

"PBK ialah parti yang telah tamat hayat. Sukar untuk mereka bangunkan sokongan melainkan prestasi GPS teruk dalam kerajaan. 

“Setakat ini rakyat Sarawak cukup berpuas hati. Mereka ada lima menteri penuh dan enam timbalan. Ini satu yang mengkagumkan untuk sebuah parti yang menguasai hanya 23 ahli Parlimen," katanya.