- Iklan -
Berita

Kadar pengangguran di Melaka turun kepada 2.6% pada suku ketiga 2022

Berbanding tempoh sama pada tahun lalu, kadar pengangguran mencatatkan penurunan sebanyak 0.4%.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Iklan peluang pekerjaan yang dipaparkan di hadapan sebuah premis peruncitan terkemuka di Pandan Jaya, Kuala Lumpur.
Iklan peluang pekerjaan yang dipaparkan di hadapan sebuah premis peruncitan terkemuka di Pandan Jaya, Kuala Lumpur.

Kadar pengangguran di Melaka berdasarkan kajian yang dilakukan Jabatan Perangkaan, merekodkan penurunan kepada 2.6% pada suku ketiga 2022 berbanding 3.0% bagi tempoh sama pada 2021.

Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem berkata jumlah penganggur di Melaka juga berkurangan kepada 12,100 orang dalam tempoh sama tahun ini berbanding 13,800 orang untuk tempoh sama tahun lepas.

"Kerajaan Melaka sentiasa optimis terhadap pembukaan peluang pekerjaan melalui agenda pembangunan negeri seperti Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) yang merupakan 'big move' dan ejen perubahan yang sebagai pemaju ekonomi negeri.

"Menerusi projek ini, sebanyak 1,000 peluang pekerjaan baru dapat diwujudkan sekali gus dapat meningkatkan pendapatan rakyat setempat dan menurunkan kadar pengangguran di negeri Melaka," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Adly Zahari (PH-Bukit Katil) mengenai jumlah dan kadar pengangguran terkini di negeri berkenaan.

Ngwe berkata kerajaan negeri juga akan menaik taraf produk pelancongan sedia ada dan melaksanakan pelbagai pembangunan seperti Taman Laut Melaka di Pulau Undan dan zon perniagaan terancang selaras dengan inisiatif Melaka Bebas Berniaga sebagai usaha mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan .

Beliau berkata selain itu, kerajaan negeri juga meletakkan pembangunan bakat masa hadapan sebagai pemangkin dasar menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) memandangkan negara dan juga negeri memerlukan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan pasaran serta ekonomi yang sedang berkembang.

Katanya, sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga akan diperkasakan menerusi penambahbaikan akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan bagi memenuhi keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

"Sistem penarafan bagi institut TVET akan diperkenalkan dengan agihan peruntukan berdasarkan kepada beberapa komponen termasuk kebolehpasaran, kadar upah graduan dan kerjasama industri serta pelaksana inisiatif," katanya.