- Iklan -
Berita

Sokongan Melayu Umno terus menjunam selepas Padang Serai

Penganalisis berkata keputusan pilihan raya di Padang Serai menunjukkan trend meningkat sokongan kepada PN di kawasan utara dan pantai timur.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Bendera Perikatan Nasional dikibarkan di Padang Serai sepanjang kempen pilihan raya yang dijalankan 7 Disember lalu. Gambar: Bernama
Bendera Perikatan Nasional dikibarkan di Padang Serai sepanjang kempen pilihan raya yang dijalankan 7 Disember lalu. Gambar: Bernama

Kemenangan besar Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Padang Serai pada Rabu merupakan isyarat jelas kemerosotan sokongan orang-orang Melayu terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN), kata penganalisis.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata keadaan itu amat ketara di kawasan-kawasan majoriti Melayu berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana Umno hanya mampu meraih 26 kerusi Parlimen sahaja.

“Jadi memang ada kaitan dengan prestasi sokongan Umno dalam kalangan Melayu,” katanya kepada MalaysiaNow.

Calon PN Azman Nasrudin secara rasmi menang di Padang Serai dengan memperoleh undi berjumlah  51,637 menewaskan lima calon lain dengan majoriti 16,260 undi.

Kemenangan Azman yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas menyaksikan PN sekali lagi merampas kerusi kubu PKR sejak tahun 2008.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata kemenangan majoriti besar itu membuktikan gelombang “tsunami hijau” yang dikesan pada PRU15 masih terasa bahangnya.

“Kalau kita tengok di Terengganu, Kelantan umpanya majoriti besar yang diraih oleh PAS dengan 30,000 hingga 40,000 (majoriti undi).

“Kebiasaannya, di Terengganu ini 7,000 atau 8,000 (majoriti) tapi dalam satu-satu Parlimen pada PRU15 boleh pergi sampai 30,000 majoriti.

“Ini maksudnya ada satu trend sokongan orang Melayu ini kepada PN di kawasan utara dan pantai timur, tetapi tidak di tempat-tempat lain,” katanya dan menambah PH masih mendapat sokongan Melayu bandar dan semi bandar seperti di Kuala Selangor dan Shah Alam.

Pilihan Raya Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman berlangsung kurang seminggu selepas pengumuman Kabinet oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menyaksikan kemunculan semula Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ke dalam Jemaah Menteri meskipun sedang berdepan 47 pertuduhan rasuah di mahkamah.

Ketika ditanya sama ada lantikan Zahid menjadi manifestasi kemarahan pengundi, Mazlan berkata ia tidak menunjukkan kaitan yang ketara.

Katanya, sebelum Zahid dilantik menjawat semula jawatan tersebut di dalam Kabinet Anwar, prestasi dan sokongan Umno sudah merosot dengan teruk sekali.

“Maknanya sentimen penolakan Umno itu wujud dalam PRU15 lagi tapi bukan kerana pelantikan Zahid sebagai TPM. 

“Sebab prestasi PH di Padang Serai pun agak munasabah dengan undi yang dia dapat itu,” katanya.

Ahmad Martadha Mohamed dari Universiti Utara Malaysia juga senada dengan Mazlan. 

Katanya, disebabkan Parlimen Padang Serai berada di dalam negeri Kedah maka sentimen yang ditunjukkan oleh pengundi Melayu di Kelantan, Terengganu , Perlis dan Kedah adalah sama.

“Jadi yang kita saksikan adalah penerusan daripada senario yang berlaku pada PRU15 baru-baru ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut Martadha, pola pengundian sebelum ini memang menunjukkan sebahagian besar Melayu menyokong PN dan pengundi-pengundi bukan Melayu akan cenderung menyokong PH.

Tetapi kali ini, pengundi Melayu berubah kerana pecahan undi tidak lagi sama.

“Pengundi bukan Melayu memang sokong PH secara majoriti manakala yang berubah kali ini ialah pengundi Melayu. Dulu ada pecahan undi yang mana BN, PH dan PN bertanding. Tapi kali ini hanya PN dan PH.

“Jadi undi Melayu yang pergi ke BN tidak lagi pergi ke BN seperti mana yang berlaku di tempat lain. Jadi pola pengundian itulah yang kita tengok berterusan seperti di kawasan-kawasan lain.”

Zahid gagal tarik undi Melayu?

Martadha bagaimanapun menafikan kemenangan besar PN disebabkan faktor Zahid gagal mendapatkan sokongan pengundi Melayu.

Menurut Martadha, sokongan pengundi Melayu beralih kepada PN bukan kerana Umno tetapi lebih kepada faktor menolak DAP.

Tambahnya, sebelum ini pun sudah boleh dilihat pola pengundian di kawasan majoriti Melayu akan menolak DAP. 

Dan disebabkan DAP berada dalam PH maka pengundi Melayu beralih kepada PN.

“Umno pula bekerjasama dengan DAP, jadi secara tak langsung pola ini berterusan.”

Pada Rabu, pilihan raya Parlimen Padang Serai menyaksikan calon PH Mohamad Sofee Razak berada di tempat kedua tertinggi dengan 35,377 undi diikuti calon BN C Sivaraj 2,983 undi.

Selain itu calon bebas Sreanandha Rao memperolehi 846 undi diikuti calon Pejuang Hamzah Abd Rahman 424 undi, dan calon Warisan Mohd Bakhri Hashim dengan 149 undi.

Kemenangan di Padang Serai menjadikan PN kini mempunyai 74 kerusi Parlimen yang dimenangi mereka pada PRU15.

Hari pengundian bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan berikutan salah seorang calon yang disahkan iaitu M Karupaiya, 69, yang meninggal dunia pada 16 Nov lalu.

Beliau yang mewakili PH merupakan penyandang kerusi itu pada PRU-14 lalu menewaskan calon PAS Muhamad Sobri Osman dan calon BN Dr Leong Yong Kong.