- Iklan -
Berita

PN bincang saranan PRN serentak di 6 negeri

Timbalan presiden PAS berkata perkara itu akan dibawa ke Majlis Tertinggi PN untuk dibincangkan secara lebih mendalam

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki membuang undi di SJKC Selayang, Selangor pada PIlihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini.
Seorang lelaki membuang undi di SJKC Selayang, Selangor pada PIlihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini.

Perikatan Nasional (PN) akan membincangkan saranan pelbagai pihak agar Pilihan Raya Negeri (PRN) dijalankan secara serentak di enam negeri terlibat, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata perkara itu akan dibawa ke Majlis Tertinggi PN untuk dibincangkan secara lebih mendalam.

"Secara peribadi saya sendiri tidak ada masalah sekiranya proses pengundian diadakan serentak di enam buah negeri iaitu di Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

"Saya sendiri akan membawa perkara ini ke mesyuarat Majlis Tertinggi PN dan segala keputusan akan dimaklumkan kemudian," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Dasar Kelantanku Bersih semalam.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata pihaknya berharap pilihan raya bagi enam negeri yang belum mengadakannya dapat dilaksanakan secara serentak bagi memudahkan urusan SPR.

Namun, Abdul Ghani berkata pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk membuat pembubaran bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri terlibat dan ia terpulang kepada kepimpinan negeri terbabit.