- Iklan -
Berita

Muhyiddin nafi derhaka kepada Agong

Pengerusi Perikatan Nasional berkata kerajaan perpaduan sebenarnya adalah cadangan Agong selepas tiada parti politik berjaya meraih majoriti mudah pada PRU15.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berucap pada kempen pilihan raya di Padang Serai di Kulim malam tadi. Gambar: Bernama
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berucap pada kempen pilihan raya di Padang Serai di Kulim malam tadi. Gambar: Bernama

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin hari ini menafikan dakwaan kononnya beliau menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang bertitah untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Menjelaskan perkara itu, Muhyiddin berkata, “titah” yang dimaksudkan itu sebenarnya berbentuk cadangan atau pandangan Baginda memandangkan tiada parti politik berjaya meraih majoriti mudah untuk membentuk kerajaan selepas tamat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, dirinya hanya boleh digelar sebagai menderhaka apabila titah tersebut bersandarkan kepada Perlembagaan.

"Saranan untuk membentuk kerajaan perpaduan diusulkan oleh Yang di-Pertuan Agong yang kita hormati.

"Dalam Perlembagaan negara, tidak ada peruntukan mengatakan mesti bentuk kerajaan perpaduan.

"Jadi jika tidak ada dalam Perlembagaan dan jika Agong memberitahu elok bentuk kerajaan perpaduan, boleh tak saya kata tidak bersetuju?," soal Muhyiddin ketika berucap pada Ceramah Grand Finale PN PRK Padang Serai di Kedah malam tadi.

Pada PRU15, Pakatan Harapan meraih 82 kerusi diikuti PN dengan 73 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) hanya mendapat 30 kerusi.

Keputusan ini menunjukkan tiada gabungan parti politik berjaya meraih majoriti mudah untuk membentuk kerajaan dan menyebabkan situasi Parlimen tergantung.

Seterusnya, PH berjaya meraih sokongan daripada BN dan Warisan sebelum disertai Gabungan Parti Sarawak serta Gabungan Rakyat Sabah untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Muhyiddin berkata, kerajaan yang dipimpin Anwar Ibrahim pada hari ini bukanlah kerajaan perpaduan memandangkan bukan semua parti menyertainya.

Menyentuh mengenai dakwaan perbelanjaan RM600 bilion yang tidak direkodkan ketika PN mentadbir kerajaan, Muhyiddin mencabar Anwar supaya membuktikan tuduhan itu apa lagi apabila Tengku Zafrul Aziz kini disenarai sebagai salah seorang anggota Kabinet.

Menjelaskan perkara itu, Muhyiddin berkata, angka sebenar yang dimaksudkan ialah RM530 bilion tetapi bukan sekadar perbelanjaan tetapi juga nilai program yang diusahakan kerajaan untuk membantu rakyat berdepan dengan ancaman Covid-19 serta menghidupkan semula ekonomi negara.

"Anwar pada ketika itu berada di pembangkang. Berapa banyak usul sudah dibentangkan untuk dapat kelulusan? Semua diluluskan.

"Yang luluskan ialah Zafrul, yang tersenarai sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri. Panggilah dia dan tanya dia,

"Saya sedia hadap mahkamah kalau tak betul. Saya bukan Ahmad Zahid Hamidi,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata Anwar juga boleh merujuk kepada ketua perbedaharaan yang mana perbelanjaan kerajaan pada ketika itu sebenarnya berjumlah RM80 bilion untuk memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi dan kesihatan rakyat yang mana nilai pakej ini dianggarkan RM530 bilion.

"Contohnya moratorium yang mana ia telah dipersetujui oleh semua bank di Malaysia, jadi ini bukan duit kerajaan," tambah beliau.