- Iklan -
Berita

Apa strategi Anwar tangani isu kaum, agama?

Penganalisis berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu memperkasakan naratif Melayu-Islam dalam berdepan ketegangan politik pasca PRU15.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim melambaikan tangan ketika acara kempen pilihan raya di Taman Kosas, Ampang pada 28 Oktober.
Presiden PKR Anwar Ibrahim melambaikan tangan ketika acara kempen pilihan raya di Taman Kosas, Ampang pada 28 Oktober.

Peralihan sokongan Melayu-Islam yang beralih kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atau lebih dikenali sebagai “tsunami Melayu” dilihat menjadi cabaran kepada kerajaan baru diterajui Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim, ketika politik negara turut tegang selepas persaingan sengit merebut tempat di Perdana Putra di Putrajaya.

Persoalan polarisasi kaum dan agama akibat jajaran baru politik yang disaksikan pasca PRU15 juga turut diperkuatkan selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang merupakan sebahagian daripada PN mengecam naratif “Islamofobia” yang dikatakan cuba dibangkitkan oleh DAP yang menjadi sebahagian kerajaan Anwar.

Apa yang dibangkitkan Hadi turut dibalas oleh veteran DAP Lim Kit Siang yang menuduh presiden parti Islam itu sebagai “penipu besar” dan mendakwanya merancang konspirasi politik untuk menjatuhkan kerajaan baru yang dibentuk bersama Barisan Nasional (BN) dan parti lain dari Sabah dan Sarawak diterajui PH.

Suasana tegang politik antara pembangkang dan kerajaan ketika ini, selain sentimen melibatkan kaum dan agama mahu tidak mahu menjadi cabaran dalam cara Anwar mengemudi kerajaan.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara Mujibu Abd Muis, berkata antara langkah awal untuk Anwar mengendali situasi ini ialah dengan mengawal naratif Melayu-Islam menerusi komposisi Kabinet supaya mencerminkan kerajaan perpaduan berbanding kerajaan PH.

Beliau berkata, ini bermakna DAP perlu kurangkan "nada" mereka ketika membuat tuntutan dalam kerajaan manakala isu membabitkan Melayu dan Islam perlu dikendalikan oleh Umno atau Amanah.

"Anwar sudah tentu mengambil iktibar daripada insiden keruntuhan kerajaan PH pada 2020 disebabkan naratif Melayu Islam yang mana kita saksikan pembentukan kerajaan oleh Bersatu, Umno dan PAS," katanya kepada MalaysiaNow.

"Anwar perlu tunjukkan bahawa ini adalah kerajaan perpaduan dan bukan kerajaan PH."

Sementara itu, penganalisis politik dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berpandangan bahawa sudah tiba masa Amanah membina kekuatan parti itu berbanding sekadar bergantung kepada prestasi PKR dan DAP.

Ini kerana Amanah yang merupakan serpihan PAS, membawa imej perjuangan Islam dalam PH dan parti itu sehingga kini kurang mendapat sambutan berbanding parti Melayu lain.

Oh berkata, penjenamaan yang lemah ini, sukar untuk parti itu membantu Anwar sekiranya perlu berdepan dengan konflik yang melibatkan isu perkauman atau agama.

"Amanah berakar umbi dari PAS yang sederhana dan profesional, yang mana ia nampaknya ditolak oleh ahli PAS dan juga sebahagian besar masyarakat Melayu," katanya.

Bagi James Chin dari University of Tasmania, Australia, pengundi tegar yang menyokong PAS sudah pasti akan memantau segala pergerakan kerajaan, namun tidak akan sewenang-wenangnya menuduh kerajaan ini adalah kerajaan yang tidak "halal".

"Anwar juga mempunyai kredibiliti dalam dunia Islam.

"Jadi, mereka yang menyokong pihak pembangkang mungkin akan ambil pendekatan tunggu dan lihat.

"Mereka tahu jika berlaku pilihan raya sekali lagi atau pertukaran kerajaan pada masa ini, ia akan menyebabkan ketidakstabilan politik," katanya sambil menambah ini akan menyebabkan situasi kalah jadi abu menang jadi arang bagi semua pihak.