- Iklan -
Berita

Hadi kecam naratif ‘Islamofobia’ DAP terhadap PAS pasca PRU15

Presiden PAS itu menyifatkan DAP sebagai parti yang tidak 'bermoral'.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mula melancarkan serangan tegas terhadap DAP, mengatakan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu cuba mempromosikan naratif Islamofobia dalam usahanya untuk menyekat partinya daripada terus berada dalam kedudukan kukuh berikutan kemenangan besarnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

Hadi dalam kenyataan tegas menyifatkan DAP sebagai sebuah parti yang tidak bermoral, di samping mengatakan parti itu "menunjukkan belangnya secara terbuka dan rakus".

"Pandangan para orientalis dan media Barat yang paling bermusuh serta berbohong terhadap Islam yang disebarkan di negara Barat telah diimport ke Malaysia oleh DAP, sehingga dilaporkan maklumat yang salah terhadap PAS," kata Hadi.

PRU15 baru-baru ini menyaksikan PAS memenangi 49 kerusi di peringkat persekutuan, menjadikannya parti yang memenangi paling banyak kerusi. 

Bilangan itu diikuti DAP yang memenangi 40 kerusi, menjadikannya rakan kongsi terbesar dalam PH.

Kenyataan Hadi itu dibuat kira-kira empat hari selepas kemelut politik berakhir dengan pengumuman Yang di-Pertuan Agong, menamakan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Pemimpin politik berkata Agong menggesa semua pihak membentuk "kerajaan perpaduan", walaupun istilah itu tidak disebut dalam kenyataan rasmi istana ketika menamakan Anwar sebagai perdana menteri ke-10.

Sekutu Hadi yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, sebelum ini menolak cadangan istana, dan berkata beliau tidak faham mengapa 115 akuan berkanun yang menyokongnya diabaikan walaupun ia dikemukakan sebelum lanjutan tempoh 24 jam yang diberikan.

Dalam kenyataannya hari ini, Hadi berkata DAP tidak pernah belajar apa-apa daripada kerjasama yang pernah terjalin sebelum ini dengan PAS dalam Pakatan Rakyat, di mana beliau berkata pemimpin kedua-dua parti mengadakan banyak dialog bagi menjelaskan kekeliruan mengenai Islam.

Beliau berkata antara naratif DAP ialah memberikan label terhadap sesiapa yang bercakap mengenai perjuangan Melayu-Islam sebagai "perkauman".

“Strategi ini digerakkan secara wayang kulit dengan DAP menjadi dalang di belakangnya.

“Hak beragama bukan Islam yang ditulis dalam Perlembagaan Persekutuan dianggap tidak mencukupi dan zalim, laksana diberikan betis mahukan paha.

"Malah, hak berbahasa dan berbudaya yang diizinkan dalam Perlembagaan dianggapnya tidak memadai. 

"DAP terus bersikap melampau terhadap budaya umat Islam yang mahu dirosakkannya secara halus dan terancang," tambah Hadi.

Hadi turut berkata percubaan DAP menggunakan Melayu-Islam sebagai jurucakap mereka akan gagal.

"Bangkai yang terlalu busuk itu tidak boleh ditutup oleh tangan DAP yang bergelumang dengan najis, walaupun mereka bertopengkan Melayu yang berwuduk dan disamaknya."