- Iklan -
Berita

Respons segera syor Majlis Raja-Raja sekat PM campur tangan lantikan hakim, kata peguam

Haniff Khatri Abdulla berkata cadangan raja Melayu itu hanya dilihat sekadar sebuah cadangan jika tiada tindakan untuk meminda undang-undang sedia ada.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi

Seorang peguam kanan memberitahu syor oleh Majlis Raja-Raja Melayu supaya perdana menteri tidak campur tangan dalam urusan lantikan keanggotaan hakim perlu disambut dengan baik oleh mana-mana kerajaan tanpa membiarkannya kekal sebagai cadangan sahaja. 

Haniff Khatri Abdulla berkata satu kerajaan yang matang terutamanya apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim secara terbuka menyatakan akan mengambil pandangan semua pihak perlu memberi respons yang segera kepada cadangan yang dikemukakan tersebut. 

“Seperti dia adalah seorang reformis, dia juga la nak bawa negara baik seperti dahulu. 

"Kalau itulah yang diuar-uarkan, maka cadangan baik dan syumul ini datang dari ketua negara dan ketua-ketua negeri perlu diberi respons yang tepat dan betul oleh sesiapa yang jadi perdana menteri apatah lagi Anwar Ibrahim,” katanya kepada MalaysiaNow. 

Pada Rabu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 di Istana Negara menyarankan supaya lima daripada sembilan ahli Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 itu tidak dilantik oleh perdana menteri agar keanggotaannya lebih seimbang dan tidak membawa kepentingan mana-mana pihak.

Mengulas lanjut, Haniff memberitahu syor yang dikemukakan oleh Majlis Raja-Raja adalah baik dan tepat bersandarkan kepada sejarah pelantikan kehakiman Malaysia sekitar 80-an hingga awal tahun 2000 di bawah Perlembagaan membolehkan perdana menteri melantik individu-individu dalam sistem kehakiman mengikut “seleranya”. 

Pada ketika itu, katanya, sudah diwujudkan jawatankuasa di mana kuasa untuk PM beri nasihat pelantikan hakim kepada Agong adalah tertakluk kepada cadangan yang datang dari JAC.

Manakala JAC dibentuk pada tahun 2009 yang terdiri daripada sembilan anggota.

Katanya, empat anggota datang dari jawatan-jawatan yang termaktub dalam akta tersebut seperti ketua hakim negara dan sebagainya. 

Sementara lima anggota lain dilantik oleh perdana menteri. 

“Jadi persoalannya ialah kalau suruhanjaya itu ditubuhkan untuk tentukan pengurangan peluang perdana menteri mencampuri urusan kebebasan kehakiman. Tetapi, bagaimana perkara itu dapat dilaksanakan dengan baik kalau PM juga yang beri cadangan lima anggota yang duduk dalam situ? 

“Sebab itu, Majlis Raja-Raja beri cadangan ini. Tidak ada kena mengena dengan Anwar, Muhyiddin Yassin atau Dr Mahathir Mohamad atau sesiapa sahaja,” katanya.

Baik pulih persepsi masyarakat 

Mengulas lanjut, Haniff menegaskan usaha Majlis Raja-Raja Melayu mencadangkan perkara itu kepada kerajaan yang baru ditubuh Anwar dilihat bagu membaik pulih kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat. 

Ini terutamanya, kata Haniff, bagi menghilangkan persepsi kononnya perdana menteri boleh mencampuri badan kehakiman. 

“Saya tak begitu setuju sebab bukan mudah untuk PM walaupun dia yang beri cadangan pelantikan hakim. Tidak mudah untuk beliau mencampuri, agak susah. 

“Tetapi persepsi rakyat adalah itu . Macam mana nak ubah persepsi rakyat? Selagi persepsi tak diperbaiki selagi itu keyakinan kepada mana-mana kerajaan akan ada cacat celanya. Atas sebab itu dicadangkan syor ini.” 

Menurut Haniff, cadangan Majlis Raja-Raja akan kekal sebagai syor sekiranya tidak dilaksanakan melalui pindaan pada undang-undang yang sedia ada iaitu seksyen JAC berkenaan. 

“Tapi jangan kita pula nak gopoh. Buat pindaan semata-mata nak tunjuk kita ikut Majlis Raja-Raja.

“Siapa yang patut ganti PM untuk melantik orang-orang ini? Itu kena kaji dan selidik dengan betul juga secara tepat dan tiada lompong,” katanya.

Haniff berkata, Anwar boleh memandang serius syor tersebut dengan serta merta dengan mengambil tindakan selepas pembentukan Kabinet.

Tambah Haniff, pertama sekali yang mungkin boleh dilakukan adalah mewujudkan satu jawatankuasa neutral dengan melantik bekas-bekas hakim, bekas peguam, pelaksana di Pejabat Peguam Negara dan pengamal undang-undang yang dihormati untuk berbincang apakah bentuk pindaan yang boleh dibuat.

“Ini semua perlu dikaji dengan matang bukan dengan cara mereka buat undang-undang anti lompat parti hari itu. Pasal itu lah bila datang undang-undang ni tidak boleh dibuat main-main. 

“Jangan nampak bila ada masalah kita tutup lubang itu kemudian kita tampal dengan plaster. Datang air bah dan kuat, plaster pun melayang. Lagi jadi teruk.”