- Iklan -
Berita

Barisan Kabinet hampir dimuktamadkan, kata Anwar menjelang sesi mengadap Agong

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berharap barisan Kabinetnya dapat diumumkan dalam masa dua atau tiga hari lagi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Perdana Putra di Putrajaya yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri. Gambar: Bernama
Bangunan Perdana Putra di Putrajaya yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata perbincangan mengenai pelantikan barisan Kabinet kini hampir selesai dan berharap ia dapat diumumkan dalam masa terdekat.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dalam pada itu berkata beliau akan mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara pada 8 pagi esok.

“Saya mohon maaf, terpaksa bergegas (untuk) selesaikan masalah (isu kabinet) dengan semua komponen, kerana kita harus segera bentuk barisan jemaah menteri dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, saya harap dapat diumum dalam masa dua, tiga hari lagi,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Reformis di Sungai Long, Kajang, malam ini.

Perjalanan majlis itu disiarkan secara langsung dalam laman Facebooknya.

Perdana menteri dijadualkan ke Perak hari ini untuk mengadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta pada pukul 10 pagi.

Selepas itu, beliau dijadual mengadakan sesi tinjauan mesra  di Pasar Tanjung Rambutan,  lawatan tapak Klinik Kesihatan Manjoi dan kemudian solat Jumaat dan Kenduri Rakyat di Masjid Muhammad Al Fateh, Taman Jati, Ipoh.