- Iklan -
Berita

Firma guaman tarik diri wakili ibu Jho Low dalam kes saman 1MDB

Hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmal Abdul Aziz membenarkan permohonan Tetuan Valen, Oh & Partners untuk menarik diri sebagai peguam mewakili Goh Gaik Ewe.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
1MDB menuntut AS$1.695 juta daripada ibu Low Taek Jho, Goh Gaik Ewe dan bapanya, Larry Low Hock Peng. Gambar: AFP
1MDB menuntut AS$1.695 juta daripada ibu Low Taek Jho, Goh Gaik Ewe dan bapanya, Larry Low Hock Peng. Gambar: AFP

Sebuah firma guaman menarik diri daripada mewakili ibu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dalam kes saman berjumlah AS$3.7837 bilion yang difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Seorang peguam dari Skrine & Co yang mewakili 1MDB berkata hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmal Abdul Aziz membenarkan permohonan Tetuan Valen, Oh & Partners untuk menarik diri sebagai peguam daripada mewakili Goh Gaik Ewe.

“Pengurusan kes ditetapkan pada 21 Disember ini,” kata peguam itu ketika dihubungi selepas prosiding yang berlangsung secara dalam talian semalam yang turut disertai peguam Oh Choong Ghee, mewakili firma guaman tersebut.

Pada Julai lepas, hakim Hayatul Akmal membenarkan firma guaman sama (Tetuan Valen, Oh & Partners) untuk menarik diri daripada mewakili Jho Low dan bapanya, Larry Low Hock Peng yang juga defendan dalam kes saman itu.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited; 1MDB Energy Limited; 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memfailkan saman terhadap Jho Low, ibu dan bapanya, kakak dan adik lelaki Jho Low iaitu May Lin dan Taek Szen serta rakan sekutu Jho Low, Eric Tan Kim Loong selaku defendan.

Berdasarkan writ itu, 1MDB menuntut AS$661 juta dari Jho Low dan masing-masing AS$41 juta, AS$397 juta, AS$608 juta dan AS$1.9 bilion daripada Jho Low dan Tan serta AS$325 juta dari Jho Low dan ayahnya.

1MDB Global Investments Limited pula menuntut AS$630 juta daripada Hock Peng, Jho Low dan Tan serta AS$2 juta daripada Taek Szen, Jho Low dan Tan.

Plaintif turut menuntut AS$3.5 juta dari May Lin dan Jho Low serta AS$1.695 juta daripada Goh, Jho Low dan Tan berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia selain AS$25.5 juta daripada Jho Low, Tan, Hock Peng dan Taek Szen.