- Iklan -
Berita

Dilema DAP selepas ‘kahwin’ dengan Umno

Pemerhati politik berkata DAP tidak boleh terlalu lantang, namun ia juga tidak boleh berdiam diri seperti MCA jika mahu mengekalkan bank undi daripada masyarakat Cina.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki berdiri di antara bendera DAP di Kuala Lumpur dalam gambar fail pada 2001. Gambar: AFP
Seorang lelaki berdiri di antara bendera DAP di Kuala Lumpur dalam gambar fail pada 2001. Gambar: AFP

Penganalisis berkata DAP mungkin tidak lama lagi perlu mempertimbangkan langkah seterusnya, selepas bergabung dengan musuh lama, Umno sebagai sebahagian kerajaan dipimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bercakap kepada MalaysiaNow, mereka berkata pertembungan antara kedua-dua parti itu sememangnya sudah dijangka walaupun ketika ini mereka masing-masing melakukan gencatan senjata.

Pemerhati politik Mak Khuin Weng berkata persaingan antara Umno dan Bersatu adalah mengenai siapa yang boleh “tunaikan tanggungjawab” kepada masyarakat Melayu, namun konflik parti itu dengan DAP adalah mengenai menafikan kemahuan antara sesama mereka.

“Umno sudah membuat kenyataan menolak Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC),” katanya merujuk kepada sijil pelajaran bagi pelajar lepasan sekolah menengah swasta Cina, di mana PH berjanji mahu mengiktirafnya dalam manifesto gabungan itu pada pilihan raya umum 2018. 

Perkara itu kemudiannya timbul semula hanya beberapa hari selepas Pengerusi PH Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, apabila kumpulan pendidikan Cina Dong Zong mula melobi sekali lagi supaya UEC diiktiraf sebagai kelayakan untuk memasuki institusi pengajian tinggi tempatan.

Veteran Umno Mustapha Yaakob membidas panggilan Dong Zong tersebut, menyifatkan persatuan pendidikan itu biadab kerana meminta UEC diiktiraf.

Umno, sebuah parti Melayu nasionalis yang konservatif, secara tradisinya menganggap DAP sebagai musuh ketat dalam usahanya melaksanakan agenda Melayu. 

Bagi parti itu, DAP yang majoritinya dianggotai oleh masyarakat Cina, dianggap sebagai parti berhaluan kiri yang menguar-uarkan dirinya sebagai pejuang kesetaraan bagi seluruh rakyat Malaysia.

Penganalisis politik Liew Wui Chern berkata DAP, yang menyedari dilema yang dihadapinya ketika ini, dilihat memilih untuk berdiam diri.

"Mereka tidak banyak mengulas - sejak keadaan Parlimen yang tergantung sehingga pembentukan kerajaan, anda boleh lihat, DAP berdiam diri," kata Liew, dari Universiti Tunku Abdul Rahman.

Liew turut menambah sikap DAP itu berbeza dengan pendiriannya sebelum ini. 

Katanya, strategi DAP kini adalah menyerahkan dasar dan membuat keputusan kepada Anwar dan PKR.

"DAP tidak tuntut apa-apa. Mereka sangat senyap dan biarkan Anwar dan PKR membuat keputusan," katanya.

"Umno kini sebahagian daripada kerajaan, jadi DAP seboleh-bolehnya akan mengelak daripada buat kecoh.”

Bagaimanapun, Mak berkata sudah wujud keretakan antara Umno dan DAP yang boleh dilihat di Perak, di mana Menteri Besar Saarani Mohamad berkata DAP tidak akan mengawal kerajaan negeri.

“DAP selama ini mendiamkan diri, tetapi semakin mereka berdiam diri, mereka semakin serupa seperti MCA,” katanya.

MCA yang merupakan komponen BN, ditolak oleh pengundi Cina pada pilihan raya umum 2013 di mana ia sering digambarkan sebagai "tsunami Cina".

Pada pilihan raya baru-baru ini, parti itu hanya memenangi dua kerusi Parlimen, memusnahkan harapannya untuk kembali  bangkit selepas mendapat beberapa kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor.

Bagaimanapun, Mak berkata, setelah memilih untuk bergabung dalam membentuk kerajaan baru, DAP perlu memperbaiki hubungannya dengan Umno.

“Saya tak nampak perkahwinan yang bahagia di sini,” tambahnya. 

“Semua kenyataan dari Umno hanya beberapa hari selepas perkahwinan menunjukkan bulan madu pun tiada.

"Apa yang boleh saya katakan kepada mereka ialah, semoga berjaya."