- Iklan -
Berita

Siasatan polis terhadap Hassan, bukan Hadi

Polis mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai ahli Parlimen Baling itu berkenaan kenyataan yang mengatakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai agen Israel.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Baling Hassan Saad. Gambar: Facebook
Ahli Parlimen Baling Hassan Saad. Gambar: Facebook

Polis mengesahkan menerima laporan berkaitan dakwaan Ahli Parlimen Baling Hassan Saad terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai agen Israel.

Sebelumnya, polis berkata Presiden PAS Abdul Hadi Awang disiasat berhubung kenyataan mengenai perdana menteri itu di bawah undang-undang berkait jenayah penghinaan serta kandungan dalam talian.

Setiausaha Polis Malaysia Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan berkata siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

"Polis mengesahkan menerima laporan berkenaan isu terbabit. Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 504 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan (kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan fitnah).

"(Kes juga disiasat) di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian)," katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, agensi berita Bernama juga membetulkan laporannya berkenaan siasatan terhadap Hadi.

Semalam, Pemuda PKR Putrajaya meminta polis menyiasat tuduhan yang mengaitkan Anwar sebagai agen Israel.

Ketuanya, Mohamad Syazreen Ezam Mohd Saidi dilaporkan berkata perkara  itu tidak boleh dibiarkan kerana ia turut melibatkan kedaulatan dan keselamatan negara.

Pada Isnin, Pakatan Harapan dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengaitkan pemimpin gabungan itu sebagai agen Israel manakala Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata Anwar sudah meminta polis mengambil tindakan terhadap fitnah berkenaan.