- Iklan -
Berita

PM tak boleh guna polis untuk pertahankan reputasi, kata kumpulan hak asasi manusia

Lawyers for Liberty berkata tugas polis adalah untuk mencegah jenayah, bukan untuk melindungi perdana menteri daripada penghinaan atau kritikan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media di luar Istana Negara selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong pada 22 November.
Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media di luar Istana Negara selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong pada 22 November.

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini berkata  tindakan kerajaan yang meminta polis mengambil tindakan terhadap mereka yang mengkritik perdana menteri "tidak boleh diterima", di samping turut menambah perdana menteri tidak mempunyai status istimewa di sisi undang-undang dan tidak boleh meminta polis untuk mempertahankan nama baiknya.

"Adalah satu penyalahgunaan kuasa bagi perdana menteri untuk mengarahkan siasatan polis terhadap orang yang membuat tuduhan terhadapnya, kerana beliau adalah pihak yang berkepentingan," kata Pengarah LFL Zaid Malek.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata jika Anwar Ibrahim berasa terkilan dengan ulasan buruk mengenai dirinya, beliau perlu memfailkan saman fitnah di mahkamah sivil.

“Tugas polis adalah untuk mencegah jenayah, bukan untuk melindungi PM daripada penghinaan atau kritikan,” katanya.

Pada Isnin, Pakatan Harapan (PH) dilaporkan berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang mengaitkan presidennya dengan agen Israel sementara Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata Anwar meminta polis bertindak atas kenyataan yang berbaur hasutan.

Merujuk situasi ketika PH menerima tindakan polis sedemikian rupa sewaktu tempoh Najib Razak menjadi perdana menteri, Zaid berkata gabungan itu sentiasa mengambil pendirian adalah tidak wajar bagi perdana menteri menggunakan pasukan polis untuk menutup mulut pengkritik.

"Campur tangan polis hanya dibenarkan apabila pesalah membuat kenyataan yang menimbulkan kemudaratan, keganasan atau kecederaan kepada orang ramai," katanya.

"Dalam sistem demokrasi yang diamalkan, tindakan polis tidak boleh diambil terhadap ahli politik atau pengkritik kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak menyenangkan atau menghina atau palsu terhadap sesiapa, termasuk perdana menteri."

Zaid turut menambah tindakan sedemikian akan menjadi "cerun licin untuk terjerumus ke dalam autoritarianisme" jika polis memulakan siasatan jenayah ke atas setiap tuduhan atau penghinaan terhadap perdana menteri. 

Sebaliknya, beliau berkata Anwar perlu meneruskan tindakan saman fitnah yang telah dimulakan terhadap Ahli Parlimen Baling Hassan Saad kerana didakwa menggelarnya sebagai seorang agen Israel.

“Kerajaan gabungan baru ini mesti mengelak daripada perangkap dan tindakan keterlaluan kerajaan terdahulu jika mereka benar-benar mahu memperkasakan kebebasan bersuara dan budaya demokrasi yang mapan.

"Tidak kira betapa tidak menyenangkan atau menghina kenyataan tersebut, tindakan berkait jenayah tidak boleh menjadi tindak balas daripada kerajaan. Itulah cara kita pupuk demokrasi yang sihat," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.