- Iklan -
Berita

Hilang sokongan Melayu, Umno bakal lenyap PRU16?

Pemerhati politik berkata keadaan mungkin tidak akan bertambah baik kepada Umno selepas bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan parti komponennya DAP.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Umno yang merupakan teraju utama Barisan Nasional bakal menubuhkan kerajaan bersama musuh lamanya Pakatan Harapan berikutan keputusan PRU15 yang menyaksikan kekalahan paling teruk dalam sejarah parti itu.
Umno yang merupakan teraju utama Barisan Nasional bakal menubuhkan kerajaan bersama musuh lamanya Pakatan Harapan berikutan keputusan PRU15 yang menyaksikan kekalahan paling teruk dalam sejarah parti itu.

Walaupun Umno kini bersedia untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH), penganalisis berkata parti Melayu terbesar itu, mungkin berdepan kesukaran dalam menghadapi masa depan yang mendatang berikutan keputusannya untuk menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10.

Keadaan sedemikian bakal dihadapinya susulan kemerosotan sokongan Melayu yang sangat drastik terhadapnya, di mana Umno dan gabungannya Barisan Nasional (BN) kehilangan kerusi tradisi "selamat" kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

Secara keseluruhannya, BN hanya memenangi 30 kerusi - prestasi pilihan raya terburuk pernah dicapai gabungan itu, jumlah sangat sedikir berbanding lawannya dari PN dan PH yang masing-masing memenangi 73 dan 82 kerusi.

Dengan hanya 26 kerusi di Dewan Rakyat – yang merupakan separuh daripada jumlah kerusi dipegang parti komponen PN, PAS, yang memenangi 49  kerusi – masa depan Umno dilihat masih tidak menentu.

Pemerhati politik Azizi Safar berkata sebarang langkah untuk berganding bahu dengan PH dan parti komponen terbesarnya, DAP adalah satu kesilapan bagi Umno.

“Orang-orang Melayu, terutamanya Melayu luar bandar yang jadi undi poket Umno masih belum boleh terima DAP setelah bertahun-tahun dimomokkan DAP itu parti cauvinis Cina yang anti Melayu dan anti Islam.

"Pada PRU15 ini, Umno kena bungkus ikat tepi. Selepas PRU16, mungkin kena bungkus ikat mati terus," katanya kepada MalaysiaNow.

Terdahulu, beberapa pemimpin Umno berkata berikutan kekalahan teruknya pada PRU15, parti itu perlu kekal sebagai pembangkang.

Mereka termasuk Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi, Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein dan Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob, yang kedua-duanya berkata sanggup dipecat kerana membantah kerjasama dengan PH yang diputuskan pimpinan parti.

Azizi yang merupakan bekas setiausaha BN Pulau Pinang berkata, orang Melayu menolak Umno kerana presidennya, Ahmad Zahid Hamidi terlibat dalam pertuduhan rasuah walaupun dibebaskan dalam beberapa pertuduhan baru-baru ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kini masih berdepan 47 pertuduhan yang dikaitkan dengan dana badan amal Yayasan Akalbudi.

Dalam pada itu, penganalisis politik Mazlan Ali berkata keputusan Umno untuk bekerjasama dengan PH akan menguntungkan parti itu dari segi mengelak pertindihan kerusi yang akan dialaminya jika bekerjasama dengan PN.

“Umno fokus jalur kawasan-kawasan Melayu dan PH fokus dengan (kerusi) multi etnik. 

“Pertindihan dan kepentingan parti tampak minimum tidak seperti BN dan PN yang mana mereka akan bertembung di kerusi Melayu," kata Mazlan, dari Universiti Teknologi Malaysia.

Dengan kerjasama dalam PN, PAS dan Bersatu berjaya menyapu bersih kerusi di Kelantan dan Terengganu.

Situasi yang sama berlaku di Kedah, di mana PAS dan Bersatu memenangi 13 daripada 14 kerusi Parlimen negeri dengan majoriti besar.

Sementara kerusi Padang Serai bakal dipertandingkan pada 7 Disember depan selepas penamaan calon 24 November lalu berikutan kematian calon penyandangnya M Karupaiya.

"Banyak kerusi-kerusi selamat Umno hilang, kalah kepada PN,” kata Azizi. 

Umno akan mengadakan pemilihan parti pada tahun depan selepas menangguhkannya beberapa kali menjelang PRU15.

Keretakan dalam kalangan parti boleh dilihat sejak beberapa tahun lalu, di mana pemimpin tertinggi berpecah kepada dua kem: kluster mahkamah dan kluster Putrajaya.

Mazlan berkata Zahid dijangka mengukuhkan cengkamannya terhadap parti, memandangkan beliau kelihatan mengawal penuh parti walaupun wujud desakan supaya meletak jawatan selepas pilihan raya 19 November lalu.

“Beberapa pemimpin Umno yang nampak pro kepada PN seperti Annuar Musa, Ismail, dan Khairy Jamaluddin akan dilemahkan.” 

“Kemungkinan Zahid pertahanankan kedudukannya.”