- Iklan -
Berita

‘Tak perlu jaga Melayu, ini semua sampah', ahli MT Umno petik dakwaan pemimpin parti dalam mesyuarat

Ia adalah susulan sikap berdiam diri ramai ahli Parlimen Umno ketika protes terhadap presiden memuncak.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Majlis Tertinggi Umno Dira Abu Zahar. Gambar: Facebook
Ahli Majlis Tertinggi Umno Dira Abu Zahar. Gambar: Facebook

Sekurang-kurangnya dua ahli Majlis Tertinggi Umno memberi sekilas gambaran tentang apa yang berlaku dalam mesyuarat lewat malam yang dipengerusikan Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu lalu, di mana keputusan untuk menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dibuat walaupun parti itu berulang kali berpendirian untuk tidak mahu bekerjasama pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Dira Abu Zahar, yang juga seorang ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Melaka, memohon maaf dalam catatan Instagram, mengatakan bahawa beliau sudah "cuba melakukan yang terbaik".

"Saya bukan perkauman. Saya hanya anti DAP," tulisnya.

Beliau kemudian mendedahkan beberapa pemimpin Umno dipercayai mereka yang bersekutu dengan Zahid menolak hujah semasa mesyuarat untuk parti itu bagi membela orang Melayu, yang menjadi laungan Umno sejak awal penubuhannya.

"Masih terngiang-ngiang di telinga, jelas di mata, suara-suara pemimpin Umno yang memperlekehkan kepentingan orang Melayu-Islam di Malaysia ini dalam meeting MKT semalam. 

“‘Tak perlu dah jaga orang Melayu ni. All this are bullshit'," katanya, memetik pemimpin yang tidak dinamakan.

Seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno Armand Azha hanya memuat naik tanda “emoji” menepuk tangan diiringi bendera Malaysia berlatar belakangkan warna hitam.

Pemimpin dan ahli Parlimen Umno dilihat hampir berdiam diri walaupun terdapat kenyataan keras menentang pengisytiharan Zahid yang menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Bantahan itu memuncak selepas surat yang ditulis oleh Zahid, menyatakan 30 ahli Parlimen BN menyokong Anwar, berdasarkan "mandat" beliau sebagai pengerusi BN.

Surat itu bercanggah dengan kenyataan BN sebelum ini bahawa ia akan kekal berkecuali dalam persaingan merebut jawatan perdana menteri antara Anwar dan Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Pada mesyuarat lewat malam di Kuala Lumpur 22 November lalu, Zahid berdepan gesaan supaya beliau berundur, sehingga terpaksa dibawa keluar dari bilik persidangan selepas dituduh membuat keputusan berseorangan tanpa berunding dengan ahli Parlimen berhubung sokongan kepada Anwar sebagai perdana menteri.

Sebelumnya, ahli Parlimen termasuk bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein berkata mereka bersedia untuk dipecat kerana menentang keputusan sedemikian.

Semalam, Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 Malaysia, sekali gus menjadi perdana menteri keempat dalam tempoh kurang tiga tahun.

Pada sidang media pertama sebagai perdana menteri, beliau berkata satu usul undi percaya akan dibentangkan pada Disember untuk meredakan persoalan mengenai keabsahannya sebagai perdana menteri.