- Iklan -
Berita

Suara umat Islam perlu dalam kerajaan Anwar, dan permohonan maaf DAP, kata Mufti Perlis

Mohd Asri Zainul Abidin berkata dengan sokongan kuat, kerajaan baru ini tidak lagi perlu bimbang dengan ugutan kumpulan tertentu untuk keluar kerajaan jika tuntutan mereka tidak ditunaikan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin. Gambar: Facebook
Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin. Gambar: Facebook

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin menyarankan supaya parti didominasi Muslim menyertai kerajaan baru jika mereka bimbang kerajaan bakal didominasi mereka yang mungkin membawa perkara yang bercanggah dengan identiti negara atau merosakkan integriti pentadbiran. 

“Saya juga berpendapat parti yang mempunyai dominasi Muslim perlu menyertai kerajaan baru ini jika mereka bimbang dominasi dalam kerajaan pihak yang mungkin membawa perkara yang bercanggah dengan identiti negara atau merosakkan integriti pentadbiran,” katanya yang dilihat merujuk kepada Perikatan Nasional (PN) yang memenangi 73 kerusi selepas mengalahkan lawannya di kerusi-kerusi majoriti Melayu.

“Dengan sokongan yang kuat, kerajaan baru tidak bimbang ugutan golongan tertentu untuk keluar kerajaan jika tuntutan mereka tidak diperolehi.”

Pada sidang media pertamanya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menawarkan tawaran kepada PN untuk menyertai kerajaan disifatkannya sebagai “kerajaan perpaduan”.

Beberapa analisis mengesahkan tinjauan sebelum pilihan raya yang mengatakan Pakatan Harapan (PH) bergelut dalam usahanya memenangi sokongan Melayu.

Penganalisis politik Bridget Welsh turut dilaporkan berkata PH hanya mempunyai 11% undi Melayu dalam pilihan raya baru-baru ini, sementara Barisan Nasional (BN) mendapat 33% dan PN mendapat 54%.

Parti Islam PAS pula mendominasi kemenangan dengan memenangi 49 kerusi Parlimen, lebih tiga kali ganda kerusi yang dimenanginya pada 2018.

‘Mohon maaf kepada umat Islam’

Dalam hantaran Facebook beliau hari ini, Asri turut menyarankan supaya DAP memohon maaf kepada masyarakat Melayu-Islam seperti yang mereka lakukan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya, tindakan itu akan dapat meredakan perasaan masyarakat majoriti negara ini dan memulakan azam yang lebih baik dengan menjaga sensitiviti umat Islam dan masyarakat Melayu negara ini. 

“Jika DAP enggan, mereka kelihatan sama sahaja dengan identiti DAP yang umat Islam resah dan tolak sebelum ini.”

Terdahulu, pemimpin utama DAP Anthony Loke dan Lim Guan Eng telah memohon maaf kepada GPS atas kenyataan yang melukakan perasaan rakyat dan gabungan parti politik Sarawak tersebut.