- Iklan -
Berita

'PN akan main peranan semak-imbang', kata Muhyiddin dalam ucapan tahniah kepada Anwar

Pengerusi Perikatan Nasional berkata gabungan itu akan meneruskan perjuangan demi kesejahteraan rakyat.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin hari ini mengucapkan tahniah kepada Anwar Ibrahim atas pelantikannya sebagai perdana menteri, mengatakan ia akan memainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan pusat yang diterajui Pakatan Harapan (PH).

“Bergerak ke hadapan, PN akan meneruskan perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara berpandukan prinsip prihatin, bersih dan stabil,” katanya dalam sebuah hantaran Facebook hari ini.

Semalam, Anwar yang merupakan pengerusi PH, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri berikutan pelantikannya oleh Yang di-Pertuan Agong.

Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan Umno berkata mereka akan bekerjasama dengan kerajaan pimpinan Anwar, demi kesejahteraan negara.

Persaingan merebut jawatan tertinggi dalam negara antara Muhyiddin dan Anwar menyaksikan penubuhan kerajaan baru hanya dapat dilakukan pada hari kelima selepas pilihan raya umum 19 November lalu.

Kedua-dua pemimpin gabungan politik itu mendakwa mempunyai sokongan majoriti sehingga memaksa Yang di-Pertuan Agong mengambil pendapat raja-raja Melayu dalam menentukan perdana menteri yang baru.

Bagaimanapun, penamaan Anwar oleh Agong semalam sebagai perdana menteri semalam merungkai kemelut politik negara di mana semua pemimpin politik menyatakan keakuran untuk menerima nasihat dan cadangan Istana Negara supaya kerajaan perpaduan ditubuhkan.