- Iklan -
Berita

‘Kluster mahkamah’ sertai Kabinet akan dibincang, kata PM

Anwar Ibrahim meminta beliau diberikan ruang untuk berbincang mengenai kedudukan pemimpin Umno terpalit kes rasuah dalam kerajaan baru.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim melambaikan tangan kepada penyokongnya pada sidang media pertama sebagai perdana menteri ke-10 semalam.
Anwar Ibrahim melambaikan tangan kepada penyokongnya pada sidang media pertama sebagai perdana menteri ke-10 semalam.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu isu berbangkit mengenai ahli Parlimen yang didakwa di mahkamah dilantik sebagai anggota Kabinet akan dibincangkan bersama parti-parti komponen dalam kerajaan perpaduan. 

Bercakap pada sidang media selepas angkat sumpah di Istana Negara semalam, Anwar menegaskan pendirian Pakatan Harapan (PH) dalam hal itu masih sama dengan mengeluarkan mana-mana ahli Parlimen terpalit isu rasuah dan salah guna kuasa daripada menyertai Kabinet. 

"Tapi oleh kerana ia babitkan isu kerajaan perpaduan, kita perlu berbincang (dengan parti-parti kerajaan).

"Yang membezakan adalah apabila hukuman dijatuhkan. Apabila ada pendakwaan, jika ikut pendirian PH, sukar untuk kita teruskan. 

"Tapi, bagi saya ruang untuk berbincang dengan parti dalam kerajaan perpaduan ini secara terperinci," katanya pada sidang media semalam di Kajang, Selangor. 

Kluster mahkamah merujuk kepada sekumpulan pemimpin Umno yang diketuai presidennya, Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa kerana rasuah semasa pentadbiran 22 bulan Pakatan Harapan (PH).

Pada Khamis, Anwar dinamakan sebagai perdana menteri ke-10 oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. 

Bagaimanapun, Istana Negara dalam satu kenyataan mengumumkan Anwar sebagai perdana menteri semalam tidak menyatakan kerajaan ini sebagai kerajaan perpaduan.

Selain PH, Anwar turut mendapat sokongan Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Warisan, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Terbaru Anwar mengumumkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan turut menyertai kerajaan pimpinannya.