- Iklan -
Berita

Ugutan Rafizi terhadap Azam beri isyarat PH sedia salah guna kuasa, kata Bersatu

Timbalan presiden Bersatu berkata kenyataan itu adalah pengakuan bahawa PH akan menyalahgunakan kuasa kerajaan untuk 'membalas dendam' terhadap penjawat awam.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.

Bersatu hari ini mengecam Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berhubung amarannya terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, mengatakan ia menunjukkan Pakatan Harapan (PH) mempunyai rancangan untuk menyalahgunakan kuasa terhadap penjawat awam yang menjalankan tugas mereka.

“Ini akan mempunyai kesan buruk terhadap kesemua penjawat awam yang kian lama telah menjalankan tugas mereka dengan ikhlas dan tanpa berpihak,” kata Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu dalam sebuah kenyataan.

"Tidak pernah dalam sejarah negara, seorang pemimpin utama sebuah gabungan politik besar iaitu PH, membuat pengakuan terbuka akan menyalahguna kuasa untuk membalas dendam terhadap penjawat awam."

Terdahulu, Rafizi mengecam tindakan yang disifatkan sebagai sebuah “serbuan” oleh SPRM di pejabat Invoke Solution, sebuah syarikat berkait PKR yang dipimpinnya.

Dalam ceramah pilihan raya malam tadi, Rafizi berkata kerajaan PH akan “datang mencari" Azam jika memenangi pilihan raya umum hujung minggu ini.

“Sabtu kita mengundi, lepas menang pilihan raya kami cari Azam Baki, insya Allah” katanya dalam laporan media.

Faizal berkata Rafizi dan pemimpin PH lain menganggap mereka terkecuali daripada undang-undang dan tindakan penguatkuasaan, memetik tindakan menggugurkan pertuduhan terhadap pemimpin DAP Lim Guan Eng pada 2018 selepas PH mengambil alih Putrajaya.

Beliau turut menggesa calon perdana menteri PH, Anwar Ibrahim supaya menyatakan pendirian mengenai perkara itu.

"Adakah PH dan Anwar sedia menarik balik ugutan terhadap ketua pesuruhjaya SPRM dan meminta maaf kepada kesemua penjawat awam negara?"