- Iklan -
Berita

KDN rampas hampir 4,000 naskhah al-Quran tulisan rumi dari Indonesia

Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM110,221.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Cetakan al-Quran dan beberapa buku lain yang dirampas dalam Op Naskhah dipamerkan pada sidang media di Shah Alam. Gambar: Bernama
Cetakan al-Quran dan beberapa buku lain yang dirampas dalam Op Naskhah dipamerkan pada sidang media di Shah Alam. Gambar: Bernama

Sebanyak 3,823 naskhah, bahan dan hasil penerbitan al-Quran khususnya dari Indonesia dirampas menerusi Op Naskhah yang dilaksanakan di seluruh Selangor sejak 1 Oktober lepas sehingga semalam dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM110,221.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ahmad Hilmi Said berkata pihaknya turut merampas 943 filem format cakera video digital (DVD).

Beliau berkata rampasan berkenaan adalah hasil risikan dan operasi pihaknya di mana bahan-bahan yang dirampas itu tidak melalui atau melepasi tapisan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) dan Lajnah Tashih al-Quran dalam negara.

"Hasil pemeriksaan juga mendapati naskhah al-Quran yang dirampas mengandungi penulisan ayat al-Quran yang telah dirumikan, diperoleh dari Indonesia.

"Merumikan ayat al-Quran adalah tidak dibenarkan dalam negara ini dan telah difatwakan haram oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan," katanya dalam sidang media hari ini.  

Hilmi berkata kecenderungan penggunaan ayat al-Quran yang tulisannya telah dirumikan dikhuatiri akan menyebabkan bahasa al-Quran iaitu Bahasa Arab terpinggir.

Lebih membimbangkan LPPPQ adalah penggunaan ayat al-Quran yang dirumikan akan menyalahi nahu bahasa Arab yang mungkin menyebabkan maksud asal perkataan itu terpesong, katanya.

"Setakat ini, kita tidak mengesan sebarang penglibatan sindiket dalam penjualan naskhah al-Quran tersebut sebaliknya lebih kepada permintaan selepas didapati ia banyak dijual di media sosial.

"Harga yang ditawarkan adalah antara RM40 hingga RM100 mengikut saiz dan kes berkenaan disiasat mengikut Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984," katanya.

Ahmad Hilmi berkata pihaknya akan terus mempergiatkan penguatkuasaan di pintu masuk utama negara di Selangor antaranya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang selain di kedai-kedai menjual naskhah, bahan serta hasil penerbitan al-Quran.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti yang bersalahan dengan undang-undang di talian 03-55190349 atau Instagram @pkkselangorkdn serta Facebook rasmi Penguatkuasaan dan Kawalan Selangor.