- Iklan -
Berita

Anwar ulangi ejekan 'ketua PAS bodoh' dalam ceramah di Gombak

Presiden PKR itu membidas Pengerusi PAS Perak Razman Zakaria yang baru-baru ini mengaitkan beliau dengan komuniti LGBT, perkahwinan sejenis dan komunis.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam ceramah kempen di Ampang malam tadi. Gambar: Bernama
Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam ceramah kempen di Ampang malam tadi. Gambar: Bernama

Meskipun sudah menghantar surat tuntutan kepada Pengerusi PAS Perak Razman Zakaria, Anwar Ibrahim meneruskan serangannya dalam ceramah "grand finale" Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Gombak malam tadi.

Presiden PKR itu mengggunakan ceramah itu untuk mengulang ejekan "ketua PAS bodoh" yang disambut oleh penyokong Pakatan Harapan (PH) dengan penuh semangat.

"Jangan sesekali hilang kemanusiaan. Kamu kasih kepada yang di bumi nescaya di langit akan curahkan kasih sayang.

"Nak dengar PAS cakap macam ini? Ketua PAS Perak akan cakap macam ini? Sebab apa? Ketua PAS Perak bodoh," katanya.

Anwar pada 8 November menghantar surat tuntutan kepada Razman yang juga bekas ahli Dewan Undangan Negeri Semanggol. 

Surat itu memberi tempoh tujuh hari untuk menjawab dan membayar Anwar RM5 juta kerana merosakkan reputasinya.

Razman sebelum ini mendakwa Anwar mempromosikan LGBT, membenarkan perkahwinan sejenis dan menyokong komunis.

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan Anwar lebih berminat menyelar musuh-musuh politiknya dalam satu kempen di Bagan Datuk, namun tidak menyebut mengenai kes presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Anwar turut mengulang kritikan terhadap Perikatan Nasional (PN) terutama PAS.

Dalam pada itu, beliau berkata sengaja memilih Gombak sebagai lokasi "grand finale" kempen gabungan itu untuk menjatuhkan penyandang, Mohamed Azmin Ali yang juga menteri kanan perdagangan antarabangsa dan industri.

"Saya memang pilih untuk datang ke Gombak, untuk ajar pengkhianat ditendang di Gombak," katanya.

Azmin berdepan saingan lima penjuru di Gombak pada 19 November ini.