- Iklan -
Berita

Mahkamah Persekutuan arah perbicaraan penuh petisyen pilihan raya Gua Musang

Sementara itu, panel yang sama menolak rayuan Naib Ketua Umno Bahagian Putrajaya Ahmad Faisal Abdul Karim untuk mengembalikan semula petisyen pilihan raya yang difailkannya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Jalur Gemilang berkibar di luar Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Gambar: Bernama
Jalur Gemilang berkibar di luar Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Gambar: Bernama

Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan petisyen pilihan raya yang difailkan Barisan Nasional (BN) untuk mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Gua Musang dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli membenarkan rayuan Mohd Azmi Mahmood, wakil bagi calon Barisan Nasional Tengku Razaleigh Hamzah, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan petisyen pilihan raya tersebut.

Rahman mengarahkan petisyen itu dibicarakan penuh di hadapan hakim lain dan menetapkan 26 Jun untuk sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi Kota Bahru.

Dalam keputusan sebulat suara mahkamah, Rahman berkata hakim Mahkamah Tinggi tersilap apabila memutuskan bahawa petisyen itu difailkan di luar masa.

Beliau juga berkata mahkamah berpuas hati bahawa pempetisyen (Azmi) telah memenuhi keperluan di bawah peraturan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Dua lagi hakim ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Hasnah Mohammed Hashim dan Nordin Hassan.

Azmi memfailkan petisyen itu, dalam usaha untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Gua Musang yang dimenangi calon PAS-Bersatu Mohd Azizi Abu Naim, yang menewaskan Tengku Razaleigh dengan 1,826 undi.

PRU15 diadakan pada 19 November tahun lepas.

Sementara itu, panel Mahkamah Persekutuan yang sama hari ini menolak rayuan Naib Ketua Umno Bahagian Putrajaya Ahmad Faisal Abdul Karim untuk mengembalikan semula petisyen pilihan raya, yang difailkan untuk mencabar keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Putrajaya, ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Berikutan keputusan mahkamah itu, Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin mengekalkan kedudukannya sebagai ahli Parlimen Putrajaya.

Rahman berkata tiada merit dalam rayuan Faisal kerana perkara yang dirayu oleh pempetisyen dalam petisyen itu tidak mempunyai butiran terperinci. 

Beliau mengarahkan Faisal membayar kos guaman sebanyak RM30,000.

Faisal memfailkan petisyen pilihan raya itu untuk mencabar keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Putrajaya yang dimenangi Radzi.

Radzi menewaskan penyandang empat penggal kerusi Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor daripada BN dengan majoriti 2,310 undi dalam pertembungan enam penjuru.

Dua Mahkamah Tinggi, masing-masing telah membatalkan kedua-dua petisyen pilihan raya itu selepas membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan Radzi dan Azizi.

Pada 10 Mac lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bantahan awal Radzi untuk membatalkan petisyen itu selepas memutuskan Faisal gagal membuktikan amalan rasuah dilakukan oleh Radzi atau ejennya.

Sementara itu, pada 26 Februari lepas, Mahkamah Tinggi Kota Bahru menolak petisyen Azmi selepas memutuskan petisyen itu difailkan di luar tempoh masa yang dibenarkan iaitu 28 hari seperti yang ditetapkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Peguam Wira Mohd Hafarizam Harun mewakili Azmi dan Faisal manakala peguam Yusfarizal Yussoff mewakili Azizi dan Radzi.