- Iklan -
Berita

Muhyiddin tuntut permohonan maaf Anwar, Zahid kerana fitnah PN

Muhyiddin Yassin berkata, PN akan berbincang dengan pasukan peguam mereka mengenai tindakan seterusnya.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menuntut permohonan maaf daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berhubung tuduhan gabungan itu mengambil wang daripada syarikat perjudian untuk membiayai kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, PN akan berbincang dengan pasukan peguam mereka mengenai tindakan seterusnya. 

"Kita tuntut mereka mohon maaf. Ini satu fitnah dan tuduhan yang berat. 

“Selepas itu kita akan tengok apa yang mereka lajukan," katanya ditemui media di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bahawa Suruhanjaya Pencegahan  Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dapat mengesahkan dakwaan yang dibuat oleh Anwar.

Anwar memberi bayangan parti “Melayu” dan parti “Islam” menerima dana syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan judi khas.

Zahid turut mengulang tuduhan itu dengan menyatakan beliau yakin sumber wang daripada pihak “sebelah sana”, merujuk kepada PN datang daripada syarikat judi.

Menurut Muhyiddin, kenyataan Azalina jelas menunjukkan ketiadaan bukti dan petanda terhadap dakwaan Anwar itu.

Dalam perkembangan lain, PAS yang merupakan parti komponen PN turut mendesak permohonan maaf daripada Anwar berhubung fitnah itu.