- Iklan -
Wacana

Amirudin jangan terlalu mendongak ke langit

Pelaburan yang dibawa masuk Azmin ke dalam negara pada 2021 mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah dengan pelaburan berjumlah RM306.5 bilion.

Nurul Islam Mohamed Yusoff
2 minit bacaan
Kongsi

Hari ini saya terlihat satu video Amirudin Shaari “menganjing” Mohamed Azmin Ali merujuk kepada kemenangan dia di Parlimen Gombak dan juga merujuk kepada angka pelaburan masuk ke Selangor selepas Azmin sudah tidak menjadi menteri besar Selangor.

Saya tidak mahu mengulas bab kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), anda sudah menang, maka raikanlah selagi boleh. Itu lumrah dalam politik dan pilihan raya.

Namun bila anda bercakap soal pelaburan, mungkin anda lupa, ketika Azmin menjawat jawatan menteri kanan perdagangan antarabangsa dan industri, pelaburan masuk ke dalam negara mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah dengan pelaburan berjumlah RM306.5 bilion pada 2021. 

Angka ini jauh lebih tinggi daripada tahun sebelumnya dan selepasnya. Tidak keterlaluan jika saya katakan, ini meletakkan Azmin sebagai antara menteri Miti terbaik.

Pelaburan yang dibawa masuk ini, terdiri daripada sektor pembuatan yang mencatatkan RM195.1 bilion (kenaikan 113.7%), sektor perkhidmatan RM94.1 bilion (kenaikan 34.4%) dan sektor utama RM17.3% (kenaikan 183.6%).

Selain itu Azmin juga berjaya membawa masuk pelaburan ketika negara dilanda Covid-19 pada 2020 dengan pelaburan berjumlah RM164 bilion yang menghasilkan 114,673 peluang pekerjaan. Tatkala seluruh dunia terhenti akibat Covid-19, negara terus dipacu ekonominya.

Lebih membanggakan, Malaysia diiktiraf sebagai negara teratas di Asia Tenggara yang pesat membangun untuk Pelaburan Asing, “Global Opportunity Index” oleh Bloomberg 2022. 

Malaysia juga diiktiraf di tempat ketiga ekonomi berpendapatan sederhana tinggi paling inovatif di dunia dalam Global Innovation Index 2021, WIPO dan tempat kedua negara paling berdaya saing di Asean serta tempat ke-25 di dunia oleh World Competitiveness Yearbook 2021, IMD. 

Banyak lagi kalau hendak saya senaraikan, namun cukuplah setakat ini dulu.

Sekarang mengenai pelaburan Selangor sebanyak RM18 bilion pada 2018. Ya benar memang angkanya tinggi. Bukan sahaja 2018, pelaburan yang tinggi juga masuk pada 2019 dan 2020.

Namun perlu difahami, pelaburan yang masuk ini merupakan hasil secara langsung dan tidak langsung daripada program galakkan pelaburan oleh kerajaan pusat. 

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) melalui Project Acceleration and Coordination Unit (Pacu) memainkan peranan bagi mempercepatkan pelaksanaan setiap pelaburan. 

Pemberian kelulusan, insentif pelaburan dan lain-lain sokongan sudah tentunya menarik pelaburan masuk ke dalam negara.

Anda juga beruntung kerana anda menjadi menteri besar ketika Darell Leiking dan Azmin sebagai menteri Miti, yang memberikan sepenuhnya kerjasama untuk membantu Selangor.

Namun ketika Azmin sebagai menteri besar, dia berhadapan dengan menteri Miti dari Barisan Nasional sudah tentu wujud halangan disebabkan politik berbeza. 

Jadi tindakan membandingkan zaman anda dengan zaman Azmin adalah tidak tepat dan adil.

Oleh yang demikian, nasihat saya kepada Amirudin jangan terlalu mendongak ke langit. Bersederhanalah dalam berkata-kata. Saya tinggalkan pantun di bawah untuk saudara;

Rosak tiang kerana condong,

Tiang condong cepat robohnya,

Rosak orang kerana sombong,

Orang sombong cepat jatuhnya.

Nurul Islam Mohamed Yusoff ialah ahli Jawatankuasa Pemuda PAS.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.