- Iklan -
Berita

RUU kerakyatan setara kelahiran luar negara akan diteruskan jika PN menang, kata Hamzah

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata agenda tersebut telah dimasukkan ke dalam manifesto PN pada pilihan raya umum kali ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perikatan Nasional memasukkan agenda kerakyatan setara bagi kelahiran luar negara dalam manifesto PRU15. Gambar: Bernama
Perikatan Nasional memasukkan agenda kerakyatan setara bagi kelahiran luar negara dalam manifesto PRU15. Gambar: Bernama

Perikatan Nasional (PN) akan meneruskan usul meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia sekiranya diberikan mandat membentuk kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata agenda yang dicadangkan oleh beliau telahpun dimasukkan ke dalam manifesto PN pada pilihan raya berkenaan.

"Saya sudah beritahu semua orang isu ini, (sebelum ini) tangan saya terikat atas undang-undang sedia ada mengikut Perlembagaan, bukan saya tidak simpati masalah ditimbulkan, saya simpati tapi saya tidak boleh buat apa-apa.

"Atas sebab itulah, saya minta supaya PN masukkan ia sebagai agenda dalam manifesto," katanya pada sidang media selepas Sesi Taklimat Persediaan Banjir dan PRU15 di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia, Bakri, semalam.

Hamzah yang juga menteri dalam negeri berkata demikian ketika mengulas mengenai manifesto Barisan Nasional (BN) yang sama dengan PN berhubung janji memberi kerakyatan anak wanita Malaysia yang lahir di luar negara.

"Saya harap semua pihak bukan sahaja BN tetapi semua gabungan parti politik akan ikut sama seperti apa yang PN umumkan lebih awal.

"Ini sekali gus menunjukkan isu ini boleh diselesaikan lebih awal sekiranya semua pihak bersama saya dalam menyelesaikan masalah ini," katanya.