- Iklan -
Berita

Sukar untuk PKR pertahankan Setiawangsa, kata penganalisis

Isu skandal kapal tempur pesisir yang didedahkan baru-baru ini juga dijangka tidak dapat menarik undi tentera di kawasan itu untuk diberikan kepada Pakatan Harapan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Calon PKR Nik Nazmi melambaikan tangan kepada penyokong pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15, mempertahankan kerusi Setiawangsa. Gambar: Facebook
Calon PKR Nik Nazmi melambaikan tangan kepada penyokong pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15, mempertahankan kerusi Setiawangsa. Gambar: Facebook

Penganalisis berkata penyandang kerusi Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad akan berdepan kesukaran untuk mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika tiada lagi isu besar yang boleh dimanipulasi untuk memenangi hati pengundi.

PKR mengumumkan naib presidennya itu sebagai calon untuk mempertahankan Setiawangsa, manakala Barisan Nasional (BN) mengumumkan ketua Umno bahagian Setiawangsa, Izzudin Ishak sebagai calon. 

Sementara Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan  Nurul Fadzilah Kamaluddin yang juga Srikandi Muda Bersatu sebagai calon di kerusi itu.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali berkata, meskipun ia merupakan kerusi bandar, Setiawangsa merupakan kubu kuat Umno. 

"Ketika PRU14, undi tentera beralih kepada Pakatan Harapan (PH) dan ada arus menolak BN ketika itu, antaranya disebabkan 1MDB.

"Namun untuk PRU15, peluang PH untuk mempertahankan kerusi ini 50-50, bergantung kepada isu yang sedang dimainkan," katanya kepada MalaysiaNow.

Faktor undi tentera memainkan peranan besar di Setiawangsa, dengan anggaran 25,000 pengundi daripada 72,136 pengundi. 

Menurut Mazlan, undi tentera dijangka beralih kepada BN atau PN. 

Sejak diwujudkan pada 2004, kerusi Setiawangsa pertama kali jatuh ke tangan pembangkang pada PRU14 lalu. 

Nik Nazmi mendapat 34,471 undi, menewaskan bekas menteri wilayah, Zulhasnan Rafique yang memperoleh 20,099 undi. 

Calon PAS Ubaid Abdul Akla hanya menerima 6,282 undi. 

Ditanya mengenai kebarangkalian isu skandal kapal pesisir tempur (LCS) mampu mempengaruhi undi tentera, Mazlan menjelaskan pihak veteran akan mudah terpengaruh dengan pendedahan isu itu namun bagi anggota yang masih berkhidmat, ia dijangka tidak akan membawa kesan besar. 

"Kebiasaannya, mereka masih dalam 'mood' taat kepada pemerintah, dan tiada sentimen politik. Sentimen anti kerajaan sukar hendak mempengaruhi mereka kecuali PRU lepas.

"Impak pentadbiran PH 22 bulan juga menyebabkan polis dan tentera marah. 

“Pada PRN Melaka, mereka tidak beri undi kepada PH, sebaliknya kepada PN," katanya merujuk kepada keputusan kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Udang yang dimenangi oleh calon PN. 

Isu LCS menggamit perhatian negara beberapa bulan lalu yang menyaksikan berbilion duit kerajaan diperuntukkan namun kapal tersebut gagal disiapkan oleh Boustead selaku kontraktor. 

Zulhasnan, bekas duta Malaysia ke Amerika Syarikat dipanggil menggantikan penyandang, Ahmad Fauzi pada PRU14. 

Berbekalkan latar belakang sebagai bekas pegawai tentera, pencalonan Zulhasnan ketika itu diharap dapat mengekalkan undi tentera kepada BN namun percaturan itu ternyata gagal. 

Sementara itu, tinjauan di media sosial mendapati rata-rata penduduk Setiawangsa menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung keadaan jalan raya, selain bekalan air yang terputus sebelum ini.  

Seorang pengundi Setiawangsa yang bakal mengundi buat pertama kali, Sadiq Rosli berkata, dia ingin melihat perubahan di tempatnya kerana penyandang, Nik Nazmi dilihat tidak boleh menyelesaikan isu membabitkan mutu jalan raya di kawasan itu.

"Dari segi kemasyarakatan, sukar hendak tengok muka dia (Nik Nazmi). Dia banyak pergi ke kawasan Setapak. 

"Izzudin pula memang orang sini. Saya selesa dengan calon tempatan," katanya.

Meskipun Izzudin ialah calon yang lebih berusia, katanya dia tidak memandang umur sebagai faktor.

"Calon muda pun, kalau saya tak kenal, macam mana hendak undi dia?" katanya yang menetap di AU3 Keramat Wangsa itu.