- Iklan -
Berita

DAP berpecah ketika wakil rakyat PH diarah sokong pindaan bakal mangsakan anak tanpa kerakyatan

Manakala seorang pemimpin DAP yang sebelum ini membela nasib golongan 'stateless' kini berubah pendirian.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Sekumpulan ahli parlimen DAP tidak setuju dengan pindaan perlembagaan bakal diusul kerajaan, manakala salah seorang pemimpin parti yang sebelum ini lantang mempertahankan golongan 'stateless' dikatakan berubah arah.
Sekumpulan ahli parlimen DAP tidak setuju dengan pindaan perlembagaan bakal diusul kerajaan, manakala salah seorang pemimpin parti yang sebelum ini lantang mempertahankan golongan 'stateless' dikatakan berubah arah.

Beberapa ahli Parlimen DAP tidak berpuas hati dengan pendirian kepimpinan parti untuk menyokong pindaan perlembagaan kontroversi yang bakal menghapuskan hak kewarganegaraan untuk bayi dan kanak-kanak terbiar, menimbulkan perpecahan dalaman menjelang pembentangan pindaan itu di Dewan Rakyat kelak, MalaysiaNow difahamkan.

Sumber yang arif tentang perkembangan itu berkata ahli Parlimen diingatkan supaya tunduk kepada pendirian kerajaan dengan menyokong pindaan itu, yang sehingga kini mengundang kemarahan masyarakat sivil, kumpulan hak asasi dan peguam, termasuk Majlis Peguam yang hujung minggu lalu mengeluarkan resolusi tegas "mengutuk sekeras-kerasnya" kerajaan Anwar Ibrahim.

Difahamkan, pimpinan Pakatan Harapan (PH) mengarahkan ketiga-tiga parti gabungan itu untuk memastikan ahli Parlimen mereka menyokong pindaan itu, yang memerlukan sokongan dua pertiga untuk diluluskan.

Antara mereka yang membantah pindaan itu ialah bekas timbalan menteri undang-undang Ramkarpal Singh, yang digugurkan daripada Kabinet dalam rombakan diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim akhir tahun lalu.

Menurut Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Ramkarpal secara melepaskan jawatannya secara sukarela setelah mengetahui abangnya Gobind Singh Deo akan dilantik sebagai menteri.

Sumber yang sama memberitahu MalaysiaNow yang salah seorang ahli parlimen DAP dari Lembah Klang, yang merupakan seorang menteri, bertindak menyokong pindaan itu walaupun sebelum ini dilihat mempertahankan nasib golongan tanpa kerakyatan (stateless).

"Sungguh mengejutkan apabila wakil rakyat DAP ini membuat pusingan U yang begitu besar, kerana hanya dua tahun lalu dia lantang mempertahankan hak orang tanpa kerakyatan dan mengkritik menteri dalam negeri ketika itu Hamzah Zainudin mengendalikan isu itu," kata sumber itu, yang rapat dengan beberapa pemimpin kanan dan ahli Parlimen DAP.

Pindaan yang dicadangkan itu dibantah kumpulan hak asasi manusia termasuk yang memperjuangkan hak ribuan kanak-kanak tanpa kerakyatan di negara ini, yang dinafikan kewarganegaraan walaupun dilahirkan kepada ibu bapa Malaysia.

Pindaan perlembagaan yang dicadangkan dan memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen itu dicantumkan bersama satu lagi pindaan yang dialu-alukan, iaitu memberikan wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing hak sama rata dalam hal kewarganegaraan untuk anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Apa yang menjadi fokus bantahan ialah pindaan untuk menghapuskan pemberian kerakyatan secara automatik kepada bayi terbiar atau anak yatim yang dilahirkan di negara ini, yang ibu atau ibu bapanya tidak dapat dikesan. 

Di bawah pindaan itu, nasib mereka yang sebelum ini berhak mendapat kerakyatan terletak di bawah budi bicara menteri dalam negeri.

Pengkritik berkata walaupun dengan wujudnya peruntukan kewarganegaraan automatik, beribu-ribu orang masih hidup menderita sebagai orang tanpa kerakyatan - dinafikan perkhidmatan kesihatan awam, pendidikan dan peluang pekerjaan - di samping anak yatim dan anak-anak terbiar, yang sebahagian besar dilahirkan di luar nikah, dijadikan mangsa seumur hidup.

Mereka memberi amaran sekiranya peruntukan kewarganegaraan itu dihapuskan, ia akan mengeluarkan jaringan keselamatan terhadap anak yatim dan kanak-kanak lain yang dinafikan kewarganegaraan, seterusnya mewujudkan sebuah kelas baru golongan tanpa kerakyatan.

Jaringan keselamatan itu merupakan asas kepada kes dibawa seorang remaja tanpa kerakyatan pada 2021, di mana Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, mengarahkan kerajaan mengeluarkan sijil kelahiran baharu dan mendaftarkannya sebagai warga negara.

Tengku Maimun berkata remaja itu berhak mendapat kerakyatan berdasarkan kelahirannya di Malaysia.

Dia juga berkata oleh kerana remaja itu ditemui diabaikan di sebuah hospital kerajaan di Kuala Lumpur, maka dia dianggap dilahirkan oleh seorang ibu yang merupakan pemastautin tetap, yang memenuhi keperluan perlembagaan untuk diiktiraf sebagai rakyat Malaysia.

Kumpulan ibu turut bantah

Sementara itu, bantahan yang semakin meningkat terhadap usaha kerajaan ini juga disertai sebuah kumpulan yang telah berkempen keras untuk mendapatkan hak sama rata kepada kanak-kanak yang dilahirkan oleh wanita Malaysia di luar negara yang berkahwin dengan warga asing, iaitu salah satu daripada pindaan yang dipakejkan bersama-sama pindaan lain yang memangsakan kanak-kanak dan bayi terbiar.

Family Frontiers Malaysia baru-baru ini melancarkan kempen menggesa orang ramai menghantar e-mel bantahan kepada wakil rakyat mereka bagi menuntut kerajaan supaya pindaan yang memberi hak sama rata kepada ibu Malaysia diteruskan.

"Sebagai wakil rakyat saya, saya meminta anda mewakili suara saya di Parlimen. Asingkan pindaan-pindaan tersebut - hanya teruskan dengan pindaan yang akan memberikan hak sama rata kepada ibu Malaysia untuk memberikan kerakyatan. Hentikan lima pindaan-pindaan regresif - jangan benarkan pindaan-pindaan regresif tersebut diluluskan dan hapuskan hak asasi yang sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan," menurut surat contoh yang disediakan kumpulan itu.

Percubaan meminda perlembagaan ini dilihat pengkritik sebagai sebahagian daripada siri pelanggaran janji mengenai komitmen mempertahan hak asasi manusia oleh pentadbiran Anwar.

Sejak mengambil alih Putrajaya, kerajaan campuran dipimpin PH telah melancarkan serangan terhadap media yang tidak sealiran dengannya, di samping mengambil tindakan tegas bagi memadamkan kritikan di platform dalam talian, manakala beberapa laman portal berita dan blog dikenakan sekatan. 

Ini ditambah dengan peningkatan aduan oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia kepada platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan TikTok, untuk memadamkan kandungan yang tidak disenangi Putrajaya.

Pendirian PAS

Sementara itu, aktivis hak asasi manusia sejak kebelakangan ini berurusan dengan pelbagai parti politik, dalam usaha memberikan pencerahan kepada mengenai pindaan perlembagaan dibawa kerajaan.

Di kalangan gabungan pembangkang Perikatan Nasional, difahamkan PAS bakal membantah pindaan itu, berdasarkan alasan intipati pindaan itu tidak selari dengan prinsip Islam.

"Bagaimanapun, pemimpin Bersatu masih tidak jelas berhubung pindaan itu. Hasil perbincangan kami mendapati pimpinan PAS lebih menerima dan lebih arif mengenai isu itu," kata seorang aktivis hak asasi manusia kepada MalaysiaNow.

Awal tahun lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, ketika ditanya mengenai anak luar nikah yang membesar sebagai orang tanpa kerakyatan, mempertahankan hak mereka sekiranya ibu atau bapa adalah warganegara Malaysia.

Beliau berkata, kanak-kanak tidak bokeh dipersalahkan dan dihukum atas dosa ibu bapa mereka.

“Ini pendirian seseorang yang kerap digambarkan oleh media sebagai pelampau dan konservatif.

"Tetapi, di sini kita lihat pemimpin DAP yang kononnya progresif ini mempersoalkan hak asasi golongan kanak-kanak malang ini, yang terpaksa hidup tanpa kewarganegaraan," kata seorang aktivis berpangkalan di Sarawak yang aktif membantu golongan tiada kerakyatan.