- Iklan -
Berita

Amaran ribut petir, hujan lebat di pantai barat bermula esok

Negeri-negeri terlibat ialah Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai memakai pelitup muka berjalan meranduk hujan di ibu negara Kuala Lumpur.
Orang ramai memakai pelitup muka berjalan meranduk hujan di ibu negara Kuala Lumpur.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir lebih kerap pada sebelah petang hingga malam yang dijangka berlaku di negeri-negeri di pantai barat semenanjung bermula Selasa ini hingga 11 Nov.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan negeri-negeri yang terlibat ialah Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Berdasarkan analisis model MET Malaysia Weather Research and Forecasting Model, European Centre for Medium-Range Weather Forecasts dan Global Forecast System, penumpuan angin dijangka berlaku di pantai timur semenanjung dan barat Sarawak.

“Keadaan ini berpotensi menghasilkan hujan berterusan yang boleh membawa hujan lebat dan angin kencang di pantai timur Semenanjung pada 8 hingga 11 November ini,” menurut MetMalaysia.

Terdahulu, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor dalam tempoh tersebut.

Jabatan itu turut menasihatkan orang awam untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih.