- Iklan -
Berita

Perbicaraan kes rasuah Zahid ditangguh ke tahun depan

Perbicaraan akan ditangguhkan ke Januari tahun depan sementara menunggu rayuan berhubung keputusan mengenai kenyataan saksi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

Perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) ditangguhkan ke Januari tahun depan sementara menunggu rayuan berhubung keputusan kenyataan saksi.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah melapangkan tarikh pendengaran itu hari ini dan esok serta 9 dan 10 November selepas peguam utama Zahid, Hisyam Teh Poh Teik memohon untuk menangguhkan perbicaraan itu.

Hakim menetapkan 21 hari untuk perbicaraan iaitu 16-19 Januari, 30-31 Januari, 7-9 Februari, 27-30 Mac, 10-13 April dan 15-18 Mei.

Terdahulu, Hisyam berkata pihak pembelaan memohon untuk menangguhkan perbicaraan itu sementara menunggu keputusan rayuan Zahid terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan keterangan rekod 15 saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata rayuan itu dijadual didengar pada 14 November di Mahkamah Rayuan.

“Apa sahaja keputusan Mahkamah Rayuan, ini akan membantu pihak pembelaan menentukan saksi-saksi yang kami panggil di hadapan Yang Arif.

“Terdapat beberapa saksi yang ditawarkan oleh pihak pembelaan yang akan kami tumpukan tetapi kami memerlukan panduan daripada Mahkamah Rayuan sama ada kami boleh mendapatkan kenyataan mereka atau sebaliknya, jadi kami dalam dilema. Atas nama keadilan, kami meminta mahkamah menunggu keputusan pada 14 November,” kata peguam itu.

Beliau juga berkata seorang saksi dari Bagan Datuk yang sepatutnya memberi keterangan hari ini tidak sihat dan pihak pembelaan tidak mempunyai saksi lain untuk dipanggil buat masa ini.

Setakat ini pihak pembelaan telah memanggil enam saksi termasuk Zahid pada perbicaraan kes bela dirinya.

Zahid, 69, menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB.