- Iklan -
Berita

Wong Tack mahu bertanding sebagai bebas di Bentong selepas digugurkan DAP

Penyandang kerusi Parlimen Bentong itu menyelar  'permainan agihan kerusi' yang dimainkan oleh DAP.

Teoh Yee Shen
2 minit bacaan
Kongsi
Penyandang kerus Parlimen Bentong Wong Tack bercakap pada sidang media hari ini selepas beliau digugurkan sebagai calon DAP bagi Pilihan Raya Umum ke-15.
Penyandang kerus Parlimen Bentong Wong Tack bercakap pada sidang media hari ini selepas beliau digugurkan sebagai calon DAP bagi Pilihan Raya Umum ke-15.

Penyandang Parlimen Bentong dari DAP, Wong Tack, hari ini mengumumkan beliau akan mempertahankan kerusinya sebagai calon bebas selepas parti itu memutuskan beliau akan digantikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari Young Syefura Othman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Wong turut berkata DAP memberitahunya “tidak sesuai" sebagai calon dalam strategi besar parti itu untuk menghadapi PRU15 pada 19 November depan.

Bercakap pada sidang media, Wong berkata beliau diletakkan sebagai calon di Bentong sejak 2013.

“Selepas kejayaan Himpunan Hijau, saya dihantar oleh akar umbi untuk bertanding pada PRU13,” katanya merujuk gerakan alam sekitar yang dipimpinnya bagi membantah loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.

Beliau berkata Lim Guan Eng, setiausaha agung DAP pada masa itu, berkata parti itu sudah "mencapai persefahaman" bahawa beliau akan bertanding sebagai calon parti itu di Bentong, dan ini akan memberi "impak positif" kepada Pakatan Rakyat ketika itu. 

“Hari ini, DAP memutuskan untuk menamatkan persefahaman ini,” tambahnya.

Terdahulu, pengganti Lim, Anthony Loke Siew Fook berkata Wong menolak tawaran parti itu untuk beliau dicalonkan di Cameron Highlands pada pilihan raya kali ini.

"Parti terpaksa membuat keputusan dan teruskan," kata Loke.

Secara tradisinya, Bentong dilihat sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN), di mana ia disandang oleh pemimpin MCA, Liow Tiong Lai dari 1999 hingga 2018.

Wong yang bertanding di kerusi itu sejak pilihan raya umum 2013 hanya berjaya mengalahkan Liow pada  2018.

Beliau berkata seseorang insan menentukan jalan dan takdir mereka sendiri.

“Pilihan ada di tangan kita,” tambahnya. 

“Kita tidak berminat untuk bermain politik, lebih-lebih lagi politik kepartian.

"Rakyat bukan bidak catur dalam permainan agihan kerusi."

Tambahnya, beliau akan terus bekerja di tempat asalnya, sambil berkata beliau komited untuk terus berkhidmat kepada rakyat.