- Iklan -
Berita

Tidak setuju dipindahkan, DAP gugurkan Wong Tack dari Bentong

Adun Ketari Young Syefura Othman menjadi calon baru parti itu dalam strategi menjadikannya ahli Parlimen wanita Melayu pertama DAP.

Teoh Yee Shen
2 minit bacaan
Kongsi
Wong Tack (tengah) memenangi Parlimen Bentong mewakili DAP dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018. Gambar: Facebook
Wong Tack (tengah) memenangi Parlimen Bentong mewakili DAP dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018. Gambar: Facebook

DAP hari ini mengumumkan penyandang Parlimen Bentong Wong Tack digugurkan daripada pencalonan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November depan dan digantikan dengan calon muda Young Syefura Othman yang merupakan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari di Pahang.

Wong memenangi kerusi Bentong pada Mei 2018, mengalahkan calon MCA Liow Tiong Lai dengan majoriti lebih 2,000 undi.

Sementara Syefura yang merupakan timbalan ketua Pemuda DAP memenangi DUN Ketari dengan majoriti undi sebanyak 9,873 menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Lao Hoi Keong dan PAS, Roslan Md Esa

Wong turut dikenali sebagai aktivis gerakan Himpunan Hijau di mana beliau lantang menyuarakan bantahan terhadap operasi loji pemproses nadir bumi Lynas yang terletak di Gebeng, Kuantan.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata walaupun isu Lynas mungkin akan digunakan untuk menyerang parti itu dan Pakatan Harapan (PH), namun terdapat isu alam sekitar lain yang perlu ditangani.

Bercakap pada sidang media untuk mengumumkan calon DAP pilihan raya di Pahang hari ini, Loke berkata atas alasan tersebut, parti itu mencadangkan Wong bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands.

Loke juga berkata, beliau dan Wong bertemu pada Ahad dan berbincang selama tiga jam di mana beliau meyakinkan penyandang kerusi Bentong itu untuk bertanding di kerusi tersebut.

Bagaimanapun, katanya, Wong enggan menerima tawaran itu.

"Selepas pertemuan itu, Wong diberi masa 24 jam untuk beliau mempertimbangkan cadangan tersebut, namun berkata beliau menolak cadangan itu," katanya.

"Parti terpaksa membuat keputusan dan teruskan."

Loke berkata langkah meletakkan Syefura, atau lebih dikenali sebagai Rara, di Bentong adalah "langkah berani dan strategik" kerana beliau sudah berkhidmat di kawasan itu.

“Kami menggalakkan calon yang sudah berkhidmat di kawasan itu,” katanya.

"Ini adalah keputusan dengan pertimbangan dan penelitian selama berbulan-bulan."

Loke menambah, parti juga melantik Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Teresa Kok sebagai mentor jawatankuasa eksekutif pusat di Bentong, untuk menasihati dan membantu Syefura sepanjang tempoh kempen.

Beliau turut mengumumkan calon parti itu bagi kerusi Parlimen Lipis, Cameron Highlands dan Raub, yang akan ditandingi Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, Chiong Yoke Kong dan Chow Yu Hui.

Tengku Zulpuri adalah bekas ahli Parlimen Raub manakala Chiong adalah Adun Tanah Rata dan Chow merupakan Adun Tras.

Loke juga berkata DAP akan bertanding di lapan lagi kerusi DUN di Pahang.