- Iklan -
Berita

PM permainkan Perlembagaan, kata DAP

Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata isu pembubaran Parlimen atau pemecatan menteri bukan isu yang boleh dipermainkan sebagai gurauan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi DAP Lim Guan Eng. Gambar: Bernama
Pengerusi DAP Lim Guan Eng. Gambar: Bernama

Pengerusi DAP Lim Guan Eng mengatakan Ismail Sabri Yaakob tidak mempunyai pendirian tetap apabila melakukan “pusingan U” beberapa kali, mengatakan kenyataan perdana menteri “hanya bergurau" berhubung pemecatan 12 menteri Kabinet yang tidak bersetuju pilihan raya diadakan adalah tindakan mempermainkan Perlembagaan Persekutuan.

"Pemecatan menteri dan pembubaran Parlimen adalah satu tindakan berat dan serius yang melibatkan Agong dan diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. 

“Kedua-dua tindakan itu harus berpaksikan rakyat dalam meningkatkan taraf hidup mereka dan kepentingan negara yang lebih baik, bukan dipermainkan secara tidak bertanggungjawab sebagai gurauan,” kata Lim dalam satu kenyataan, sehari selepas Ismail menjawab cabaran seorang menteri Bersatu supaya beliau  memecat sahaja semua anggota Kabinet Perikatan Nasional (PN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Latiff Ahmad sebelum ini mengecam Ismail berhubung kenyataannya yang mengatakan beliau boleh memecat menteri yang menulis surat kepada Agong bagi menyatakan ketidaksetujuan mereka dengan tindakan Umno yang terus mendesak pilihan raya umum diadakan tahun ini, memetik amaran musim peralihan monsun dan banjir oleh Jabatan Meteorologi.

Latiff berkata tiada keperluan Ismail memecat mereka, sambil menambah mereka bersedia untuk meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, Ismail menjawab cabaran Latiff itu dengan mengatakan beliau hanya bergurau, di mana beliau sendiri mengekalkan menteri-menteri yang tidak bersetuju dengannya dalam Kabinet sementara.

"Tiada siapa yang dapat memahami logik pelik Ismail bahawa fakta bahawa 12 Menteri PN masih berada dalam kabinet bermakna dia hanya bergurau," kata Lim.

Lim turut berkata Ismail "keliru" dan malah “tidak jujur" apabila menyalahkan 12 menteri itu berhubung keputusannya yang terpaksa membubarkan Parlimen, beralah dengan tekanan hebat dari Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang dibuat terhadap perdana menteri itu.

"Kemudian pada 13 Oktober beliau membuat pusingan U dengan mengatakan beliau tidak menyalahkan 12 Menteri PN yang menghantar surat kepada Agong kerana mereka hanya mengikut arahan pemimpin parti mereka."

Lim berkata tindakan Ismail yang tidak mempunyai pendirian tetap menimbulkan persoalan adakah naib presiden Umno itu layak untuk menjadi perdana menteri.

"Ini mengingatkan saya tentang korus lagu lama Rod Stewart, ‘I was only joking’,” kata Lim.