- Iklan -
Berita

SPR digesa mudahkan pengundi di luar Sarawak, Sabah

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Abdul Karim Rahman Hamzah berkata SPR perlu mengkaji pengundian secara dalam talian selain memperluaskan pengundian secara pos.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengundi menunggu giliran untuk membuang undi pada PRN Sarawak Disember tahun lalu.
Pengundi menunggu giliran untuk membuang undi pada PRN Sarawak Disember tahun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mencari penyelesaian dalam memudahkan proses pengundian bagi rakyat Sarawak dan Sabah yang kini berada di luar negeri itu, seperti di semenanjung, dengan membenarkan mereka mengundi menerusi pos pada Pilihan Raya Ke-15 (PRU15), kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata dalam dunia digital kini, SPR sepatutnya menambah baik proses pengundian dengan mengkaji pemilihan secara dalam talian untuk pilihan raya akan datang. 

Beliau berkata pengundian secara pos, yang hanya dibenarkan untuk anggota tentera dan polis, petugas SPR serta beberapa kategori pemilih, sepatutnya diperluas kepada pengundi luar wilayah, namun beliau mengakui perubahan itu tidak dapat dilaksanakan serta-merta.

“Saya mahu melihat sistem yang lebih maju daripada itu. Mengapa kita tidak wujudkan satu sistem untuk mengundi secara dalam talian... Itu adalah langkah ke hadapan dan dapat menjimatkan banyak wang,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kempen Percutian Malaysia Inbound Chinese Association (MICA) semalam.

Beliau memberi contoh rakyat Sarawak yang sedang belajar dan bekerja di semenanjung terpaksa membeli tiket penerbangan yang mahal, selain memohon cuti selama dua atau tiga hari semata-mata untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pemilih.