- Iklan -
Berita

JPN akan keluarkan sijil kelahiran dengan ciri keselamatan terkini

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata ciri keselamatan baru adalah bagi mengelak berlakunya kes pemalsuan dokumen.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kelahiran baru mulai tahun 2023 akan diberikan sijil kelahiran baru dengan ciri keselamatan terkini. Gambar: Bernama
Kelahiran baru mulai tahun 2023 akan diberikan sijil kelahiran baru dengan ciri keselamatan terkini. Gambar: Bernama

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan sijil kelahiran versi baru bermula tahun depan yang mengandungi beberapa ciri keselamatan terkini, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin. 

Dalam sidang media selepas melancarkan reka bentuk baru dokumen keselamatan sempena Hari Pendaftaran Negara Tahun 2022 di Putrajaya, Hamzah berkata ciri keselamatan baru termasuk dilengkapi "watermark" atau tera air pada sijil kelahiran itu adalah bagi mengelak berlakunya kes pemalsuan dokumen. 

“Apabila dokumen itu dibawa kepada JPN, kita tahu ia sahih atau tidak. Sesiapa yang lahirkan anak tahun depan akan mendapat sijil kelahiran baru,” katanya. 

Hamzah berkata sijil kelahiran sedia ada masih boleh digunakan dan tidak perlu ditukar.

JPN dalam kenyataan sempena program itu memaklumkan 38 dokumen keselamatan jabatan itu antaranya sijil kelahiran dan daftar perkahwinan ditingkatkan ciri keselamatan bermula tahun depan bagi menjaga aspek ketulenan. 

Menurut JPN antara ciri keselamatan baru yang diperkenalkan ialah pada reka bentuk dokumen, kertas yang digunakan dan jenis dakwat untuk cetakan keselamatan.

Sementara itu, Hamzah berkata pegawai JPN akan digerakkan ke kawasan terjejas banjir menerusi program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) bagi membantu mangsa yang kehilangan dokumen pengenalan diri.

“Pegawai JPN bersiap sedia, kita jaga kepentingan rakyat… kalau dokumen pengenalan diri tiada macam mana ingin pergi mengundi,” katanya dan menambah dokumen seperti kad pengenalan penting untuk rakyat menjalankan tanggungjawab pada Pilihanraya Umum ke-15 nanti.

Mekar adalah inisiatif JPN bagi menyantuni rakyat dalam menyediakan kemudahan perkhidmatan seperti pendaftaran kelahiran, kematian dan kad pengenalan serta khidmat nasihat terutama kepada penduduk di kawasan pedalaman serta luar bandar.