- Iklan -
Berita

RM35.7 bilion untuk KDN, Mindef akan perkukuh keselamatan negara, kata Zafrul

Kerajaan akan melakukan pembelian dan penyelenggaraan aset polis bagi meningkatkan keselamatan dalam negeri dengan peruntukan RM431 juta.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Anggota Angkatan Tentera Malaysia memeriksa senjata ketika perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu.
Anggota Angkatan Tentera Malaysia memeriksa senjata ketika perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu.

Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan masing-masing menerima peruntukan sebanyak RM18.3 bilion dan RM17.4 bilion untuk terus memperkukuhkan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini berkata pada 2023 usaha kerajaan adalah untuk melaksanakan pembelian dan penyelenggaraan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meningkatkan kesiagaan pertahanan dengan peruntukan hampir RM4 bilion.

Beliau berkata kerajaan juga akan melakukan pembelian dan penyelenggaraan aset polis bagi meningkatkan keselamatan dalam negeri dengan peruntukan RM431 juta.

"Usaha utama kerajaan termasuk aspek penyelenggaraan semua kapal dan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memastikan keselamatan kawasan maritim negara dengan peruntukan RM485 juta.

"Selain itu, perolehan alat pengimbas badan dan menaik taraf fasiliti di lima penjara antaranya Penjara Seremban di Negeri Sembilan dengan peruntukan RM18 juta,” katanya.

Zafrul berkata kerajaan akan turut menambah 25 pos kawalan sempadan Pasukan Gerakan Am (PGA), Imigresen, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), APMM antaranya di Serikin, Sarawak dan Lahad Datu di Sabah.

Sementara itu, beliau berkata kebajikan pasukan beruniform tanah air dan para pesara akan terus dipelihara menerusi inisiatif yang akan dilaksanakan tahun hadapan merangkumi RM118 juta untuk menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).

"Kerajaan bercadang untuk membina RKAT baru pelbagai kelas di Pangkalan Udara Butterworth Pulau Pinang selain 12 projek pembinaan RKAT yang sedang berjalan.

"Sebanyak RM42 juta diperuntukkan bagi membaik pulih dan menaik taraf kuarters kediaman PDRM,” katanya.

Selain itu, Zafrul berkata RM28 juta diperuntukkan pada 2023 bagi meneruskan tiga projek pembinaan kuarters di bawah Jabatan Penjara antaranya di Pusat Koreksional Labuan dan Akademi Koreksional Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan akan memberikan 50% diskaun ke atas pengangkutan awam di bawah kendalian Prasarana kepada 21,000 pemegang kad veteran ATM dan kad pesara polis di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Pulau Pinang.