- Iklan -
Berita

Sekolah jadi pusat pemindahan banjir, tak sesuai adakan PRU15, kata Radzi

Menteri pendidikan itu berkata kemudahan sekolah adalah komponen bersama setiap kali musim banjir atau pilihan raya.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pendidikan Radzi Jidin bercucap dalam majlis pelancaran pemasangan lokar sekolah di Gombak Setia, Selangor hari ini.
Menteri Pendidikan Radzi Jidin bercucap dalam majlis pelancaran pemasangan lokar sekolah di Gombak Setia, Selangor hari ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata sekarang bukan masa yang sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memandangkan warga sekolah khususnya para guru dan pentadbir akan terlibat dalam membantu pengurusan pusat mengundi dan juga pemindahan banjir. 

Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin menegaskan ianya sebagai tempoh yang amat berisiko kerana negara sedang berdepan dengan kemungkinan banjir akibat musim monsun dan proses struktur semula sektor pendidikan selepas terkesan akibat pandemik Covid-19.  

Katanya, sudah sekian lamanya sekolah menjadi komponen bersama setiap kali musim banjir atau ketika pilihan raya diadakan. 

Menurut Radzi, guru dan kakitangan sekolah akan terlibat dalam kedua-dua senario terbabit dan bangunan-bangunan sekolah turut digunakan dalam situasi tersebut. 

"Sebab itu saya katakan tadi seolah-olah kita tidak ada masa lain nak buat pilihan raya ini. Kenapa beriya-iya nak buat sekarang? 

"Kalau kita bercakap tentang kepentingan rakyat  maka kita tahu apa kepentingannya pada waktu ini," katanya pada satu sidang media di Selangor hari ini selepas ditanya tentang persediaan kementerian sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat. 

Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menolak PRU15 diadakan lebih awal dan menggesa kerajaan bersiap sedia berdepan musim banjir berikutan monsun timur laut yang bermula bulan ini. 

Muhyiddin berkata mengadakan PRU15 pada musim banjir adalah tidak wajar kerana ia akan menyusahkan rakyat. 

Menurut Radzi, KPM juga sedang menjalankan beberapa perkara dan inisiatif bagi memastikan struktur pendidikan diletakkan pada asas yang kukuh. 

"Sebab itu pendirian kita tetap bahawa keutamaan perlu diberikan kepada kebajikan rakyat. 

“Dan anak-anak kita perlu dapat yang terbaik," katanya.