- Iklan -
Berita

MCMC sekat 400 laman sesawang pedofilia, porno kanak-kanak setakat Ogos

Tindakan tersebut adalah hasil kerjasama KPWKM dengan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengambil pendekatan melaksanakan program advokasi, pencegahan, intervensi dan perkhidmatan sokongan sosial bagi mencegah jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak. Gambar: Pexels
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengambil pendekatan melaksanakan program advokasi, pencegahan, intervensi dan perkhidmatan sokongan sosial bagi mencegah jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak. Gambar: Pexels

Sebanyak 400 laman sesawang berkaitan pedofilia dan pornografi kanak-kanak telah disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) setakat Ogos lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Mohd Yusoff berkata tindakan itu hasil kerjasama kementerian berkenaan dengan polis dan MCMC.

“Kementerian bekerjasama untuk mengukuhkan dan memperkasakan (penguatkuasaan) iaitu dengan kerjasama rapat PDRM khususnya Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) terutama berkaitan dengan siber," katanya pada sesi soal jawab hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berhubung usaha kementerian bagi mengatasi masalah eksploitasi seksual kanak-kanak di alam maya disebabkan lambakan pelbagai aplikasi tidak bermoral dalam talian.

Siti Zailah berkata kementerian mengambil pendekatan melaksanakan program advokasi, pencegahan, intervensi dan perkhidmatan sokongan sosial bagi mencegah jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak.

Beliau berkata ia termasuk melaksanakan Program Jelajah Kasih Kanak-Kanak Prihatin Rakyat yang melibatkan kanak-kanak seluruh negara serta memperkasakan peranan Majlis Perwakilan Kanak-Kanak (MPKK) untuk mempromosi dan menyampaikan maklumat berkaitan kempen membanteras jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak kepada komuniti setempat.

Selain itu, katanya kementerian juga telah bekerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik dan aktivitis sosial untuk membangunkan Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Dunia Siber (PTCOP).