- Iklan -
Berita

‘Nyahsekat atau berdepan tindakan undang-undang’ bekas ahli Parlimen beri kata dua pada SKMM

Laman blog milik bekas ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong disekat sejak 24 Julai lalu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Mesej daripada hos pelayan mengesahkan blog Wee Choo Keong disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Gambar: Bernama
Mesej daripada hos pelayan mengesahkan blog Wee Choo Keong disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Gambar: Bernama

Bekas ahli parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong menuntut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya menyahsekat laman blognya dalam tempoh 24 jam atau berdepan tindakan undang-undang.

Peguam Wee, dalam surat kepada SKMM menyebut sekatan itu, yang dilakukan tanpa sebarang pemberitahuan atau alasan rasmi terlebih dahulu, adalah satu pencabulan kepada hak kebebasan bersuara beliau yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Wee juga tidak dimaklumkan secara rasmi oleh SKMM mengapa laman blognya disekat.

"Sila ambil perhatian bahawa jika blog pelanggan kami terus disekat dan kekal tidak boleh diakses, kami tidak teragak-agak untuk memfailkan prosiding kehakiman terhadap anda dan/atau menteri anda dan/atau kerajaan Malaysia, tanpa prejudis terhadap tuntutan pampasan atau kerosakan. 

"Anak guam kami berharap beliau tidak perlu mengambil tindakan undang-undang jika anda bertindak dengan sewajarnya dalam tempoh masa yang ditetapkan untuk mematuhi tuntutannya," katanya.

Wee, yang mengendalikan laman sesawang http://weechookeong.com/, terkenal dengan kritikan lantangnya terhadap hubungan antara perniagaan utama dan ahli politik serta pendedahan rasuah dalam sektor kewangan Malaysia.

Sekatan itu disedari Wee pada malam 24 Julai, apabila beliau dihalang untuk mengakses kepada laman sesawang itu. 

Ia disahkan melalui mesej daripada hos pelayan pada 25 Julai yang mengatakan laman sesawang itu disekat oleh SKMM.

Surat itu selanjutnya mengatakan bahawa SKMM bertindak seperti "ejen rahsia", walaupun Malaysia adalah masyarakat sivil. 

Menegaskan blog itu, yang mula dilancarkan pada 2008, tidak pernah menerbitkan sebarang artikel yang mengancam keselamatan negara atau kepentingan umum, Wee menambah sepanjang 18 tahun lalu, SKMM tidak pernah menghubungi atau memaklumkannya bahawa beliau melanggar mana-mana peraturan berkanun atau mana-mana peraturan di bawah SKMM.

SKMM, pengawal selia internet negara, diberi kuasa untuk mengarahkan ISP untuk menyekat laman sesawang yang "tidak diingini. Dahulu, sekatan sedemikian diperluaskan ke portal berita dan laman sesawang yang mengkritik kerajaan.

"Atas sebab-sebab di atas, kami diarahkan, dan kami dengan ini berbuat demikian, dengan segala hormatnya menuntut anda memulihkan semula akses ke atas blog pelanggan kami dengan kadar segera di mana pandangan dan kupasan beliau terhadap isu semasa boleh dilihat secara bebas oleh rakyat dan/atau untuk berinteraksi dengan pelanggan kami dan orang lain melalui blog atau platform pelanggan kami," katanya.