- Iklan -
Berita

Misteri MalaysiaNow disekat akses sejak 27 Jun

Siasatan pakar teknikal kami bagaimanapun tidak menunjukkan apa-apa aktiviti luar biasa terhadap server kami.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi

Sejak petang semalam, laman sesawang MalaysiaNow di www.malaysianow.com tidak dapat diakses oleh sebahagian besar pembaca.

Siasatan pakar teknikal kami bagaimanapun tidak menunjukkan apa-apa aktiviti luar biasa terhadap server kami.

Kami juga mendapati tiada sebarang serangan ke atas laman sesawang kami. 

Apa yang kami boleh katakan pada masa ini ialah sekurang-kurangnya pengguna dua rangkaian mudah alih – Celcom dan Maxis – tidak dapat mengakses laman sesawang kami.

Aduan kepada kedua-dua perkhidmatan itu dibalas dengan jaminan bahawa tidak ada apa-apa perubahan dibuat yang boleh menjejaskan pengguna melayari www.malaysianow.com.

Kami terus menerima pembaca dari luar Malaysia, namun jumlah biasa pembaca tempatan kami hampir separuh. Ini mungkin kerana pengguna Celcom dan Maxis tidak boleh mengakses laman kami.

Kami dapati pengguna tidak mempunyai masalah untuk mencapai MalaysiaNow melalui perkhidmatan VPN, yang membolehkan akses kepada laman sesawang yang disekat.

Ini bermakna, ada kemungkinan wujud satu cubaan di luar undang-undang bagi menyekat laman sesawang kami.

Usaha untuk menghubungi Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil tidak berjaya.

Seorang pembantunya berulang kali memberitahu beliau "sibuk".

Pembantu itu turut mendakwa MalaysiaNow tidak disekat, sebaliknya berkata mereka sedang menunggu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, badan yang diberi kuasa untuk menyekat akses terhadap laman sesawang.

Jawapan yang diberikan ini langsung tidak membantu.

Buat masa ini, kami meminta pembaca yang tidak dapat mengakses MalaysiaNow untuk menggunakan pautan ini: https://tinyurl.com/4uexxmu4

Setelah meneliti masalah teknikal, kami akan membuat laporan kepada pihak berkuasa yang berkaitan dalam masa terdekat.

Kami ingin menyatakan hak kami mengambil apa-apa langkah yang dibenarkan undang-undang dalam menangani sebarang pelanggaran kuasa oleh mana-mana pihak yang mengakibatkan laman sesawang kami tidak dapat diakses.

Abdar Rahman Koya

Pengarang dan Ketua Pegawai Eksekutif

Nota: Jika anda dapat membaca artikel ini, ia mungkin disebabkan anda menggunakan VPN, pembekal khidmat internet anda masih tiada sekatan, anda bukan berada di Malaysia, atau anda menggunakan pautan alternatif kami http://mnow-main-site-1749948968.ap-southeast-1.elb.amazonaws.com/.