- Iklan -
Berita

Dewan Rakyat dijangka bahas langkah bantu mangsa sindiket penipuan pekerjaan

Isu mata wang ringgit dan harga tiket penerbangan domestik turut dijangka menjadi tumpuan Dewan Rakyat hari ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur.
Bangunan Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur.

Tindakan-tindakan yang diperlukan bagi membantu rakyat Malaysia yang ditipu dan diculik sindiket penipuan pekerjaan terutamanya di rantau Asia Tenggara bakal menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut aturan urusan mesyuarat dalam laman sesawang rasmi Parlimen, soalan itu selain tindakan pencegahan yang diambil kementerian berkenaan dan kedutaan-kedutaan Malaysia bagi membanteras kegiatan penipuan pekerjaan berkenaan diajukan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) kepada menteri luar pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri.

Turut tersenarai, soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang meminta menteri kewangan sama ada satu krisis kewangan sedang terbentuk berikutan nilai Ringgit Malaysia menjunam berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kadar inflasi dan hutang kerajaan yang kian bertambah.

Pada sesi soal jawab pula, Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) akan mengajukan soalan kepada menteri pengangkutan mengenai inisiatif dilaksanakan kementerian berkenaan bagi mengawal dan memantau harga tiket penerbangan domestik pada kebanyakan masa yang mahal dan tidak berpatutan.

Selain itu, Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mahu menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna menyatakan prestasi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dalam menangani kenaikan kadar inflasi keseluruhan yang meningkat kepada 4.4% dan inflasi makanan kepada 6.9% pada Julai 2022 sepertimana laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) terbitan Jabatan Perangkaan Negara (DOSM).

Dewan Rakyat juga dijangka bakal tertumpu kepada pembentangan Rang Undang-Undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2022 untuk bacaan kali kedua.

Turut tersenarai adalah pembentangan untuk bacaan kali kedua bagi Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok (Pindaan) 2022 (Dalam pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Khas), selain Rang Undang-Undang Makanan (Pindaan) 2022 serta Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadualkan berlangsung selama 32 hari dari 3 Oktober hingga 29 Nov.