- Iklan -
Berita

Selepas Umno menang PRU15, peguam negara baru akan lindung penyangak, kata Dr Mahathir

Bekas perdana menteri itu berkata Umno bergantung dengan pilihan raya umum akan datang untuk kembali menguasai kerajaan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan baru yang dipimpin Umno akan melantik peguam negara baru yang akan "melindungi penyangak".

Dalam sebuah respons terhadap gesaan yang semakin meningkat daripada kepimpinan Umno terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi membubarkan Parlimen, Mahathir berkata parti yang pernah menguasai kerajaan itu bergantung kepada pilihan raya umum (PRU) akan datang untuk kembali menguasai Putrajaya.

"Jadi PM boleh curi duit, boleh lantik peguam negara (AG) dan AG boleh lindung penyangak," kata bekas perdana menteri itu dalam kenyataan ringkasnya bertajuk “I want to advise you something”, satu ungkapan yang sering dikaitkan dengan Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak yang kini dipenjarakan, gara-gara sebuah perbualan telefon yang dibocorkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Beberapa hari selepas Najib dipenjarakan pada Ogos lalu, pemimpin Umno Azalina Othman Said memberikan cadangan kontroversi di mana beliau mencadangkan supaya Ismail menggunakan kuasa perdana menteri untuk melantik peguam negara yang mesra kerajaan.

"Siapa jadi perdana menteri, dia mesti jadikan peguam negara orang dia,” kata bekas menteri undang-undang itu kepada ahli Umno dalam himpunan membantah keputusan Mahkamah Persekutuan yang menghantar Najib ke penjara selepas gagal dalam rayuan terakhirnya bagi kes penyelewengan dana SRC International.