- Iklan -
Berita

Eksport Malaysia meningkat 48% kepada RM141 bilion pada Ogos

Dalam pada itu, import melonjak 67.6% kepada RM124.41 bilion dan lebihan dagangan berjumlah RM16.92 bilion.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pertumbuhan eksport negara disumbangkan oleh peningkatan eksport barangan elektrik dan elektronik, keluaran petroleum, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, gas asli cecair serta barangan optik dan saintifik.
Pertumbuhan eksport negara disumbangkan oleh peningkatan eksport barangan elektrik dan elektronik, keluaran petroleum, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, gas asli cecair serta barangan optik dan saintifik.

Perdagangan Malaysia kekal kukuh pada Ogos 2022 dengan eksport meningkat 48.2% kepada RM141.33 bilion, pertumbuhan dua digit yang ke-13 bulan berturut-turut, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Import melonjak 67.6% kepada RM124.41 bilion dan lebihan dagangan berjumlah RM16.92 bilion. 

Perdagangan meningkat 56.7% kepada RM265.74 bilion berbanding Ogos 2021, pertumbuhan dua digit yang ke-19 bulan berturut-turut, katanya dalam kenyataan hari ini.

“Pertumbuhan eksport telah disumbangkan oleh peningkatan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, gas asli cecair (LNG) serta barangan optik dan saintifik.

“Eksport keluaran petroleum, LNG serta barangan optik dan saintifik mencatatkan nilai bulanan tertinggi setakat ini. 

“Eksport ke rakan dagang utama khasnya Asean, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua digit. 

“Nilai eksport bulanan tertinggi telah dicatatkan ke Jepun. Perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan, masing-masing berkembang sebanyak 5.2%, 5.4%, 5.0% dan 8.6%,” katanya.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2022, katanya perdagangan meningkat 33.1% kepada RM1.873 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Eksport telah melepasi RM1 trilion dalam tempoh lapan bulan, jangka masa tersingkat pernah dicatatkan bagi mencapai nilai ini, berkembang 30.3% kepada RM1.014 trilion. 

“Import bertambah 36.7% kepada RM858.83 bilion dan lebihan dagangan naik 3.7% kepada RM155.57 bilion. Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan mencatatkan nilai tertinggi bagi tempoh ini,” katanya.

Menurut Miti, eksport barangan perkilangan pada Ogos 2022, yang mewakili 84.5% daripada jumlah eksport naik 47.7% tahun ke tahun kepada RM119.48 bilion, pertumbuhan dua digit yang ke-13 bulan berturut-turut. 

Katanya pertumbuhan ini telah disokong oleh kenaikan eksport barangan E&E, keluaran petroleum, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan, dan setiap barangan ini telah merekodkan kenaikan melebihi RM1 bilion.

“Eksport hasil galian (7.6% syer) melonjak 59.1% tahun ke tahun kepada RM10.77 bilion, merupakan pertumbuhan dua digit yang ke-18 bulan berturut-turut disumbangkan oleh pertambahan eksport LNG dan petroleum mentah. 

“Eksport keluaran pertanian (7.4% syer) meningkat 42.6% kepada RM10.47 bilion berbanding Ogos 2021, pertumbuhan dua digit yang ke-17 bulan berturut-turut.

“Kenaikan ini disokong oleh eksport yang kukuh bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit,” katanya.