- Iklan -
Berita

Sikap waris punca sebenar masalah dalam faraid?

Seorang bekas ketua hakim syarie berkata kesedaran yang kurang mengenai tanggungjawab mereka menjadi punca pertikaian dalam pembahagian harta.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Umat Islam mendengar khutbah solat Jumaat di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur.
Umat Islam mendengar khutbah solat Jumaat di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur.

Md Handara mendiami tanah pusaka datuknya sejak kecil. 

Ketika bapanya masih hidup, dua lagi lot tanah dibeli dan diletakkan atas nama datuknya. 

Semasa hidup, ayah Handara menukar kerakyatan menjadi rakyat Singapura. 

Handara sendiri pernah menetap di republik itu. 

Namun setelah kematian bapanya, timbul pertikaian mengenai pemilikan tanah-tanah tersebut antara keluarga adik ayah Handara dan keluarga lelaki berusia 40-an itu. 

Pertikaian itu berlangsung selama beberapa dekad. 

Menurutnya, masyarakat pada zaman dahulu tidak tahu bagaimana ingin menyelesaikan pembahagian harta.  

"Pada awalnya saya dan keluarga buat sendiri. 

“Kami ke pejabat tanah dan berfikir bahawa ia akan diselesaikan di sana, tetapi kes kami perlu dibawa ke mahkamah," katanya kepada MalaysiaNow.

Handara kini melantik peguam untuk menyelesaikan kes berkenaan.

Katanya, kes mula berjalan pada 2016 apabila keluarga ibu saudaranya ingin membuat pembahagian. 

Sehingga hari ini, kes tersebut masih belum selesai. 

Ketiga-tiga tanah itu terletak di sebuah negeri di selatan tanah air dan bernilai keseluruhannya lebih dari setengah juta. 

Menurut Handara, dia ingin membeli tanah yang didudukinya sekarang. 

Kesemua pihak bersetuju kecuali seorang waris, yang menyebabkan kes tidak selesai. 

Itu antara ribuan kes pembahagian harta pusaka yang masih belum diselesaikan. 

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan sebanyak RM70 bilion harta pusaka orang Islam masih dibekukan.  

Antara beberapa halangan yang dilaporkan ialah kerumitan undang-undang. 

Ini kerana Malaysia mempunyai dua undang-undang berbeza, iaitu sivil dan syariah. 

Bekas ketua hakim syarie Terengganu, Ismail Yahya berkata, tiada halangan sama ada kecil atau besar, dalam aspek perundangan, pentadbiran dan pembahagian harta pusaka individu Islam yang sudah meninggal dunia.

Justeru, katanya tidak perlu ada usaha untuk mencari titik tengah antara perundangan sedia ada. 

Ismail juga berkata, tiada keperluan untuk menubuhkan unit agensi pelaksana untuk memantau perlaksanaan faraid. 

"Negara kita melalui sistem perundangan yang sedia ada masih boleh menangani isu harta pusaka. 

Apa yang sedang berlaku adalah selain dari ahli waris tidak tahu maklumat, ahli waris juga berada dalam zon selesa dan mempunyai konflik antara waris-waris," katanya kepada MalaysiaNow.

Ismail yang juga bekas mufti Terengganu berkata, melihat kepada situasi yang terjadi dalam negara berhubung pembahagian harta pusaka, katanya waris perlu cakna mengenai tanggungjawab mereka terhadap harta peninggalan si mati selepas meninggalnya individu tersebut. 

Antara perkara asas ialah bagaimana hendak bertindak ke atas harta peninggalan si mati, institusi terlibat, jenis harta, surat dan dokumen bagi setiap harta pusaka. 

"Mereka juga perlu tahu siapa daripada kalangan ahli waris itu hendak diserahkan pengurusan melaksanakan prosedur dalam memfailkan petisyen bagi mentadbir dan menyelesaikan pusaka si-mati.

"Jika perlu merujuk kepada individu yang mahir dalam selok belok pembahagian dan penyelesaian pusaka si-mati, siapakah daripada kalangan ahli waris yang patut diserah mandat bagi mendapatkan makluman berkenaan?" 

Bagi mempercepatkan proses, katanya waris perlu bersetuju supaya pusaka dapat diselesaikan secara muafakat antara waris setelah mengetahui bahagian masing-masing. 

Hartanah yang mempunyai terlalu banyak nama dalam bentuk “undivided share” juga berisiko untuk turun nilai.

"Persetujuan untuk menyelesaikan harta pusaka ini adalah faktor utama menyumbang kepada cepat dan lambatnya pembahagian dan penyelesaian pusaka, sama ada di dalam Pejabat Pembahagian Pusaka Kecil atau pun di dalam Mahkamah Tinggi (Sivil).

"Isu yang menjadi soal dalam persoalan ini adalah sikap ahli waris untuk mengambil tindakan positif dalam menyelesaikan pusaka si mati," tambahnya.