- Iklan -
Berita

Polis selesai ambil DNA 10 waris mangsa pesawat terhempas

Waris terakhir tiba dari Sungai Petani, Kedah pada kira-kira 5 pagi tadi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Serpihan pesawat yang terhempas di Elmina, Shah Alam, 17 Ogos. Gambar: Reuters
Serpihan pesawat yang terhempas di Elmina, Shah Alam, 17 Ogos. Gambar: Reuters

Waris semua mangsa selesai memberikan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) mereka bagi tujuan mengenal pasti 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Cha Hoong Fong berkata waris yang terakhir tiba dari Sungai Petani, Kedah pada kira-kira 5 pagi tadi.

"Kesemua waris diambil sampel DNA mereka bagi mengenal pasti mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat semalam," katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan 10 lelaki maut dalam kejadian itu.

Antara nama yang terdapat dalam senarai penumpang ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Johari Harun.

Lapan daripada yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

Ketika kejadian pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.48 petang.