- Iklan -
Berita

Kerajaan pertimbang untuk lanjut moratorium kepada usahawan kecil

Bagaimanapun, lanjutan moratorium itu akan diberikan mengikut kes-kes tertentu dengan mengambil kira keperluan usahawan PMKS terbabit.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Peniaga mendirikan khemah perniagaan di Jalan Permaisuri, Cheras. Impak Covid-19 terhadap ekonomi masih dirasai golongan peniaga walaupun negara sudah melangkah ke fasa endemik.
Peniaga mendirikan khemah perniagaan di Jalan Permaisuri, Cheras. Impak Covid-19 terhadap ekonomi masih dirasai golongan peniaga walaupun negara sudah melangkah ke fasa endemik.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sedang menimbangkan kemungkinan untuk melanjutkan moratorium kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang masih belum pulih keadaan ekonominya akibat pandemik Covid-19.

Menterinya, Noh Omar bagaimanapun berkata lanjutan moratorium akan diberikan mengikut kes-kes tertentu dengan mengambil kira keperluan usahawan PMKS terbabit.

Katanya kes-kes mahkamah dan kebankrapan terhadap usahawan PMKS juga akan ditangguhkan sehingga hujung tahun ini untuk memberi ruang kepada mereka memulihkan perniagaan terlebih dahulu.

"Kita faham bahawa mungkin di luar sana masih ada yang memerlukan moratorium. Mereka boleh membuat rayuan kepada kami," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Festival Makanan Halal Tanpa Tunai di Menara Kembar Bank Rakyat di Kuala Lumpur hari ini. 

Terdahulu, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yasin dilaporkan mencadangkan perkara itu memandangkan sektor yang menyumbang RM518.1 bilion atau 37.4 % kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun lepas itu masih belum pulih sepenuhnya.

Menurut Muhyiddin, sektor PMKS kini menanggung beban hutang tinggi dan ianya diburukkan lagi dengan peningkatan kadar dasar semalaman (OPR).