- Iklan -
Berita

Status Najib sebagai ahli Parlimen kekal sementara menunggu semakan penghakiman

Speaker Dewan Rakyat berkata status Najib hanya akan dimuktamadkan selepas semakan tersebut dan petisyen pengampunan dibereskan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak (tengah) diiringi pegawainya di Istana Kehakiman Putrajaya bagi pendengaran penghakiman kes SRC International pada 23 Ogos lalu.
Bekas perdana menteri Najib Razak (tengah) diiringi pegawainya di Istana Kehakiman Putrajaya bagi pendengaran penghakiman kes SRC International pada 23 Ogos lalu.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun hari ini mengesahkan menerima beberapa dokumen tambahan berhubung permohonan semakan sabitan dan hukumannya di Mahkamah Persekutuan, menegaskan status Najib Razak sebagai ahli Parlimen kekal sehingga permohonan semakan itu dibereskan.

Dalam sebuah kenyataan, Azhar berkata beliau sudah menerima surat daripada Tetuan Shafee & Co bertarikh 7 September berhubung permohonan Najib bagi semakan penghakiman tersebut.

Beliau juga berkata menerima salinan surat iringan dari firma sama bertarikh 6 September yang menunjukkan pengesahan Mahkamah Persekutuan mengenai penerimaan permohonan tersebut. 

“Mengambil kira permohonan pengampunan yang dibuat sebelum ini dan juga usul tersebut di atas difailkan, maka status ahli Parlimen Pekan pada masa ini tidak berubah dan akan hanya dimuktamadkan selepas kedua-dua permohonan pengampunan dan usul semakan tersebut dibereskan."

Pada 23 Ogos, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Najib terhadap sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International, di mana beliau didakwa atas tujuh pertuduhan jenayah pengubahan wang haram, pecah amanah dan salah guna kuasa.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan beliau bersalah pada 28 Julai 2020, menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta.

Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukumannya pada 8 Disember tahun lalu.

Dalam permohonan semakan terhadap penghakiman Mahkamah Persekutuan itu, Najib memohon kebenaran untuk membuat semakan terhadap keputusan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos lalu.

Beliau turut berkata hakim Mohd Nazlan Ghazali berada dalam konflik kepentingan apabila mendengar kes SRC tersebut, selain turut memohon agar rayuan akhir itu didengar semula di hadapan panel hakim lain, yang dianggotai tidak kurang daripada tujuh orang hakim atau yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang turut memohon penangguhan hukumannya sementara menunggu semakan penghakiman tersebut.