- Iklan -
Berita

Pendedahan: Keistimewaan Anwar di penjara jadi tumpuan, ketika perhatian beralih kepada banduan berpengaruh Malaysia

Pemimpin pembangkang itu menghabiskan banyak masa di luar penjara semasa menjalani hukuman atas sabitan kes liwat.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim (kiri) bersalaman dengan pegawai penjara selepas bercakap pada sidang media selepas dilepaskan dari Hospital Rehabilitasi Cheras di Kuala Lumpur pada 16 Mei 2018. Gambar: AFP
Pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim (kiri) bersalaman dengan pegawai penjara selepas bercakap pada sidang media selepas dilepaskan dari Hospital Rehabilitasi Cheras di Kuala Lumpur pada 16 Mei 2018. Gambar: AFP

Ramai pelawat, perabot yang "tidak seperti penjara" dan banyak perjalanan keluar penjara adalah antara keistimewaan yang diberikan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim ketika dipenjarakan selepas gagal dalam rayuan kes liwat pada 2015, MalaysiaNow kini boleh mendedahkan ketika perdebatan mulai hangat berhubung isu layanan istimewa kepada Najib Razak yang baru-baru ini menjadi bekas perdana menteri Malaysia yang pertama dihantar ke penjara.

Pegawai yang biasa berurusan dengan "tetamu VIP" di penjara sejak beberapa dekad lalu turut menjelaskan bagaimana Anwar menerima "layanan yang lebih baik berbanding banduan biasa".

Pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kes liwat Anwar dan menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dibebaskan hampir seminggu selepas kemenangan gabungan itu pada Mei 2018, susulan menerima pengampunan diraja yang disokong oleh kerajaan baru Dr Mahathir Mohamad.

Namun sumber yang terlibat dalam menyelaraskan penahanan Anwar berkata, sepanjang 40 bulan pemimpin pembangkang itu menjalani hukumannya, beliau banyak menghabiskan masanya di luar dinding penjara.

"Kira-kira satu pertiga masanya banyak dihabiskan di wad hospital untuk pelbagai aduan kesihatan, di mana ketika itu prosedur operasi standard (SOP) penjara akan digantung dan larangan komunikasi juga sukar dikuatkuasakan," kata sumber kepada MalaysiaNow, memberikan butiran terperinci tentang perjalanan keluar penjara Anwar selama tiga setengah tahun sebagai penghuni Penjara Sungai Buloh.

Perjalanan keluar penjara itu termasuk permohonan kecemasannya bagi menguruskan urusan keluarga selain kehadiran di mahkamah.

Pegawai penjara berkawal di pintu masuk Penjara Sungai Buloh yang menempatkan Presiden PKR Anwar Ibrahim bagi hukuman kes liwatnya.
Pegawai penjara berkawal di pintu masuk Penjara Sungai Buloh yang menempatkan Presiden PKR Anwar Ibrahim bagi hukuman kes liwatnya.

“Selepas November 2017, Anwar tidak lagi dilihat di Penjara Sungai Buloh kerana ditahan di Hospital Rehabilitasi Cheras sehingga dibebaskan pada Mei 2018,” kata sumber lain.

Semakan MalaysiaNow menunjukkan ahli politik itu menghabiskan masa kira-kira enam bulan di hospital tersebut.

"Saya rasa pegawai tertinggi memutuskan untuk membenarkan beliau tinggal di hospital kerana ia jauh lebih selesa berbanding penjara. Berada di hospital tidak seperti dalam penjara.

"Tiada banduan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan atau rawatan sekerap beliau. Beliau juga dibawa keluar untuk dimasukkan ke hospital banyak kali. Anda boleh semak rekod Penjara Sungai Buloh untuk sahkan perkara ini," kata sumber sama.

Banduan jarang dibawa ke hospital yang terletak di luar premis penjara melainkan keadaan mereka cukup serius bagi mendapatkan waran kebenaran.

Sementara itu, MalaysiaNow juga difahamkan bahawa Anwar turut menerima lawatan berkala daripada doktor terkemuka yang ditugaskan oleh Kementerian Kesihatan bagi memantau kesihatan dan pemakanannya.

Salah seorang daripada mereka ialah mendiang Dr S Jeyaindran, yang bersara sebagai timbalan ketua pengarah kesihatan pada Mei 2018.

Selain berada di hospital, Anwar juga turut dibenarkan menghadiri pengebumian saudara mara, satu keistimewaan yang jarang diberikan kepada banduan biasa.

Semakan MalaysiaNow menunjukkan Anwar turut dibenarkan meninggalkan penjara bersama pengiring untuk melawat saudara-mara yang sakit di hospital.

Ia termasuk ibu tiri, saudara kandung, cucu, isteri, dan bapa mertuanya.

Pengalaman Anwar tersebut berbeza dengan apa yang dialami aktivis hak asasi manusia dan peguam P Uthayakumar ketika dipenjarakan.

Anwar Ibrahim menghabiskan kira-kira satu pertiga daripada masa pemenjaraannya di luar dinding penjara, di mana beliau boleh bertemu dengan kawan, penyokong dan ahli politik.
Anwar Ibrahim menghabiskan kira-kira satu pertiga daripada masa pemenjaraannya di luar dinding penjara, di mana beliau boleh bertemu dengan kawan, penyokong dan ahli politik.

Uthaya menceritakan bagaimana beliau dinafikan kebenaran untuk melawat ibunya yang tenat ketika menjalani hukuman dua tahun penjara atas kesalahan menghasut.

“Satu-satunya hari saya menangis di penjara ialah apabila ibu tersayang meninggal dunia dan pihak berkuasa penjara, pada minggu sebelumnya, menolak permohonan saya untuk melawatnya di hospital,” Uthaya dipetik The Star selepas beliau dibebaskan pada 2014.

Seorang pembantu pemimpin kanan Umno berkata terdapat permintaan daripada sekutu Anwar dan juga ahli politik PKR berhubung keistimewaan penjara kepada pemimpin parti mereka itu.

"Keistimewaan seperti itu tidak mungkin diberikan tanpa kebenaran daripada menteri dalam negeri, Ahmad Zahid Hamidi, malah daripada Najib, yang merupakan perdana menteri ketika itu."

Sebagai banduan di hospital, Anwar turut menerima ramai pelawat termasuk Najib, Zahid dan pasangan mereka.

“Dari bilik hospital inilah beliau bergiat aktif dalam perancangan pra-PRU bersama rakan partinya.

"Peraturan penjara hampir tidak diendahkan. Malah, diketahui umum bahawa beliau turut berbual melalui telefon dengan Najib pada satu ketika," kata seorang ahli Parlimen PKR, merujuk dakwaan Anwar bahawa Najib menelefonnya pada malam PRU14, memberikan tawaran kepada pemimpin PKR itu sebagai usaha akhir untuk mengelak daripada kejatuhan kerajaan Barisan Nasional.

Keluar penjara

Namun banyak berada di luar persekitaran penjara yang suram bukan satu-satunya kelebihan menjadi "banduan VIP", kata sumber lain yang biasa dengan SOP penjara.

“Di Sungai Buloh, Datuk Seri diberikan bilik bujang khas, tidak seperti banduan lain yang terpaksa berkongsi sel kerana sesak.

"Dia ada kipas, katil, dan kerusi serta meja yang banduan biasa tak dapat. Dia juga ada tempat duduk tandas khas.”

Sumber itu menambah Anwar juga turut diberikan "seorang tukang masak banduan yang khas".

"Beliau ada banyak buku dan majalah yang biasanya dibawa masuk oleh peguam, yang sering datang sekurang-kurangnya dua kali seminggu," kata sumber itu, sambil menambah sudah menjadi pengetahuan umum bahawa peguam Anwar menyeludup kenyataan akhbar dan surat, terutama ketika awal-awal pembangkang melancarkan kempen bersama pada PRU14.

Seorang bekas warden penjara mengesahkan dakwaan tersebut, mengatakan ia adalah satu cabaran dalam melaksanakan peraturan penjara apabila ia melibatkan peguam.

“Peguam-peguam ini ambil kesempatan ketika sesi lawatan mereka untuk melakukan perkara-perkara sebegini.

“Namun biasanya, kami pejam mata sahaja. Ingat, Anwar tidak pernah dikenakan hukuman tatatertib kerana melanggar peraturan penjara dengan membuat kenyataan akhbar," kata lelaki berusia 63 tahun itu kepada MalaysiaNow dengan syarat namanya tidak didedahkan.

MalaysiaNow masih tidak menerima respons daripada beberapa peguam yang mewakili Anwar semasa beliau dipenjarakan.

Ketika dihubungi, salah seorang daripadanya berkata, mereka masih terikat dengan keistimewaan peguam-anak guam walaupun tidak lagi mewakilinya.

Dalam pada itu, jabatan penjara berulang kali menafikan spekulasi berhubung keadaan pemenjaraan Najib.

Ia termasuk penafian tegas berhubung khabar angin di media sosial bahawa bekas perdana menteri itu ditempatkan di sebuah rumah dalam kawasan penjara.

"Maklumat tidak sahih. Hentikan penyebarannya," kata jabatan itu.

Pada 23 Ogos lalu, Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International.

Beliau juga memfailkan semakan kehakiman serta petisyen bagi pengampunannya.