- Iklan -
Berita

Sudah tiba masa Mavcom ada unit penguatkuasaan sendiri

Bekas pengarah Pembangunan Penerbangan Mavcom memberikan pandangan mengenai peranan agensi itu sejak penubuhannya tujuh tahun lalu.

Azzman Abdul Jamal
4 minit bacaan
Kongsi
Penumpang beratur di kaunter imigresen di KLIA Sepang. Syarikat penerbangan di seluruh dunia bergelut dengan isu penangguhan dan pembatalan penerbangan ketika pandemik Covid-19 melanda dunia.
Penumpang beratur di kaunter imigresen di KLIA Sepang. Syarikat penerbangan di seluruh dunia bergelut dengan isu penangguhan dan pembatalan penerbangan ketika pandemik Covid-19 melanda dunia.

Sudah tiba masa untuk Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) pertimbang mewujudkan unit penguatkuasaan supaya dapat mengambil tindakan secara terus terhadap syarikat penerbangan, kata bekas pengarah Pembangunan Penerbangan Mavcom Germal Singh Khera.

Germal berkata, unit penguatkuasaan dalam Mavcom kini sangat relevan memandangkan isu berkaitan bayaran balik dan pembatalan serta penangguhan penerbangan kini sudah menjadi trend di peringkat global.

Katanya, disebabkan ketiadaan unit itu, Mavcom hanya mempunyai kuasa untuk menyiasat, namun mereka perlu melalui Pejabat Peguam Negara (AGC) sekiranya ingin mengambil tindakan terdapat salah laku oleh pihak syarikat penerbangan.

"Ketika Mavcom ditubuhkan secara rasmi pada Mac 2016, memang perkara ini sudah dibincangkan sama ada agensi ini perlukan unit penguatkuasaan," katanya kepada MalaysiaNow.

"Ia boleh dilaksanakan, tetapi ada banyak perkara yang perlu diteliti terdahulu untuk pastikan tiada percanggahan dengan penguatkuasaan daripada pihak berkuasa lain."

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan beberapa siri aduan yang dikemukakan penumpang apabila penerbangan mereka ditangguh dan dibatalkan oleh pihak syarikat penerbangan meskipun kebanyakan negara sudah membuka sempadan dan melonggarkan sekatan pergerakan.

Malah isu ini juga mendapat perhatian di Amerika Syarikat apabila dua wakil daripada Parti Demokrat mencadangkan supaya syarikat penerbangan tidak dibenarkan untuk menawarkan penerbangan sekiranya tidak mempunyai jumlah kakitangan yang mencukupi atau membatal penerbangan dalam waktu yang singkat dengan waktu pelepasan.

Di Malaysia, Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau pula mencadangkan isu ini dibawa ke Parlimen bagi mendapatkan penjelasan daripada Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Malah, MalaysiaNow turut menerima banyak aduan mengenai isu bayaran balik oleh penumpang AirAsia dan AirAsia X yang cuba mendapatkan semula duit mereka sejak lebih dua tahun lalu.

Kebanyakan daripada mereka meluahkan tidak puas hati apabila isu mereka tidak dapat diutarakan kepada pihak syarikat kerana mereka hanya dapat berurusan dengan AVA iaitu talian sembang AirAsia.

Disebabkan isu-isu ini terus berlarutan sehingga ke hari ini, beberapa pihak termasuk penumpang menyifatkan Mavcom sebagai "tiada taring" kerana tidak mengambil tindakan sewajarnya.

Namun begitu, Germal yang juga pernah memegang jawatan naib presiden kanan Hal Ehwal Antarabangsa Malaysia Airlines dan ketua Kawal Selia dan Perhubungan Lapangan Terbang AirAsia, kurang bersetuju dengan tanggapan tersebut dan menasihatkan orang ramai supaya melihat perkara itu dari sudut yang lebih menyeluruh.

Katanya, isu bayaran balik dan penangguhan penerbangan bukan saja berlaku di Malaysia tetapi juga di peringkat global, malah beliau yakin Mavcom pada masa ini sedang bincangkan mengenai isu yang sama.

"Sebagai agensi kawal selia, Mavcom tidak boleh mengambil tindakan hanya berdasarkan aduan penumpang," kata Germal. 

“Mereka juga perlu dapatkan maklum balas pihak syarikat penerbangan sebelum membuat kesimpulan yang adil."

Selain itu, Germal turut mengingatkan Mavcom pada 2016 dan 2017 juga pernah mengambil tindakan terhadap beberapa syarikat penerbangan selepas didapati melakukan kesalahan.

Pada 13 Jun 2016, Mavcom membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) Rayani Air selepas mendapati syarikat penerbangan itu melanggar syarat ASL dan tidak mempunyai kapasiti kewangan atayu pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai.

Kemudian pada 20 Disember 2016, Mavcom membatalkan Permit Perkhidmatan Udara (ASP) Eagleexpress Air Charter Sdn Bhd kerana gagal mematuhi syarat yang ditetapkan.

Pada 9 Januari 2017 pula, Suasa Airlines Sdn Bhd dikenakan denda RM380,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang kerana beroperasi tanpa ASP.

Mengulas mengenai isu bayaran balik yang dihadapi penumpang AirAsia dan AirAsia X, Germal mengakui langkah yang diambil oleh pihak syarikat penerbangan tersebut sebagai "tidak beretika".

Katanya, setiap syarikat penerbangan seharusnya mempunyai unit yang menguruskan aduan penumpang secara terperinci dan mereka tidak wajar memberi penyelesaian secara "pukul sama rata" seperti menawarkan bayaran balik dalam bentuk kredit atau baucer apabila penumpang membayar dalam wang tunai.

"Jika paksa penumpang terima baucer walaupun mereka bayar tunai, ini tidak beretika," kata Germal merujuk kepada langkah yang diambil AirAsia X. 

“Tetapi mereka sudah melalui proses penstrukturan hutang dan mendapat kebenaran mahkamah, jadi semua termasuk Mavcom hanya boleh akur."

Menyentuh mengenai isu hak penumpang, Germal menjelaskan perkara itu sudah dinyatakan secara terang oleh Mavcom seperti Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MAVCOC) 2016 dan ia sebenarnya wajib dipatuhi oleh semua syarikat penerbangan yang beroperasi di negara ini.

"Ia bukan sekadar panduan, tapi memang perlu dipatuhi," tegas Germal.

Bagaimanapun, beliau akui terdapat kelemahan yang mana Mavcom ketika ia ditubuhkan, tidak mempunyai kekuatan untuk menguatkuasakan peraturan itu dengan ketat disebabkan pelbagai faktor.

Katanya, disebabkan masalah ini, terdapat kemungkinan syarikat penerbangan mengambil kesempatan untuk tidak mematuhinya.

"Sebelum Mavcom ditubuhkan, syarikat penerbangan mempunyai polisi mereka sendiri melibatkan bayaran balik, penanggunan dan pembatalan penerbangan," kata beliau. "Semua ini berubah apabila Mavcom tetapkan definisi bagi semua perkara tersebut."

"Tetapi persoalannya, bagaimana Mavcom ingin pastikan syarikat penerbangan patuhi segala peraturan ini bagi menjamin hak penumpang?" soal beliau.

Tambahnya, apabila Mavcom memulakan peranannya sebagai badan kawal selia, ia tidak mahu terlalu "mengawal" syarikat penerbangan bagi membolehkan mereka bebas menjalankan perniagaan.

Pada masa sama, katanya, Mavcom akan teliti secara berperingkat syarat dan peraturan yang diperkenalkan dan melihat bagaimana ia akan dipraktikkan syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia.

"Sudah tujuh tahun Mavcom ditubuhkan, sudah tentu sekarang ia lebih berpengalaman.

"Mungkin sudah tiba masa untuk melihat semula cadangan itu (mewujudkan unit penguatkuasaan,: kata Germal yang turut menjangkakan bahawa Mavcom pastinya akan memerlukan kakitangan tambahan bagi merealisasikan cadangan tersebut.

Selain itu, katanya, kewujudan unit penguatkuasaan dalam Mavcom tidak bermaksud mereka boleh mengambil tindakan sesuka hati, sebaliknya terdapat kapasiti yang menghadkan kuasa agensi tersebut.

"Ia akan bergantung kepada kapasiti kesalahan yang dilakukan," Kata Germal. "

“Jika kes itu terlalu besar, maka sudah tentu perlu melalui AGC."