- Iklan -
Berita

Mengapa golongan muda sering bertukar kerja?

Ramai orang muda sering bertukar kerja, di mana ia disifatkan sebagai trend sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Pekerja pejabat turun dari tren untuk pulang ke rumah selepas seharian bekerja di Kuala Lumpur.
Pekerja pejabat turun dari tren untuk pulang ke rumah selepas seharian bekerja di Kuala Lumpur.

Di usia 27 tahun, Azimah Awliya Ali sudah mempunyai empat pengalaman kerja yang berbeza dengan kerja pertama sewaktu tahun akhir pengajiannya di universiti pada tahun 2016. 

Ketika itu, dia bekerja sebagai pembantu tadbir bahagian urusan data pelanggan di sebuah hospital swasta. 

Selepas mendapat ijazah dalam jurusan sains komputer, Azimah beralih menjadi ejen jualan rumah di Johor Bahru. 

Setahun sembilan bulan selepas itu, dia berpindah ke Shah Alam, Selangor untuk menjadi jurujual di sebuah butik telekung terkemuka di Malaysia. 

Di situ dia bekerja sehingga dinaikkan pangkat sebagai penyelia dan kemudiannya pembantu peribadi majikan. 

Pada tahun 2020 sebelum pandemik Covid-19, Azimah bertukar kerjaya sebagai perunding takaful dan insurans di sebuah syarikat swasta di Bangi. 

Kini di usia 29 tahun, dia tidak lagi mengamalkan pertukaran kerja kerana berjaya mendapat tempat dalam perkhidmatan kerajaan di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di Putrajaya pada Mac lalu. 

Azimah berkata berpindah tempat kerja berkali-kali sebelum mendapat kerja tetap amat membantunya menyediakan profil kerjaya yang baik. 

Ini memandangkan, pengalaman kerja yang berbeza boleh memberi peluang kepadanya menunjukkan kebolehan yang pelbagai kepada majikan. 

"Saya pernah dipanggil sebagai tiada pendirian dan bermasalah oleh orang sekeliling kerana bertukar kerja. 

"Tapi dengan cara ini juga saya mampu raih pendapatan yang stabil dalam tempoh yang amat singkat," katanya kepada MalaysiaNow.  

Menurut Azimah, kadar gaji yang diterimanya pada kerja pertama hingga keempat adalah antara RM2100 hingga RM6500 sebelum memasuki perkhidmatan awam. 

Meskipun gaji yang diterima selepas menyertai SPA sedikit rendah, dia berasa selesa kerana hasil perpindahan kerja sebelum ini membolehkannya menyimpan wang. 

"Sekarang saya cuma fokus kerja baru dan tak risau lagi tentang simpanan. 

“Saya hanya perlu sambung sahaja menabung bulanan." 

Bertukar-tukar pekerjaan dalam tempoh singkat dilihat menjadi satu trend dan kebiasaan terutamanya bagi mereka dalam generasi muda. 

Meskipun masih tiada statistik terperinci mengenai trend ini, beberapa majikan yang bercakap kepada MalaysiaNow mengesahkan mereka sudah berdepan dengan situasi tersebut sejak empat tahun lalu. 

Seorang pengurus di sebuah syarikat pemasaran dan pengiklanan di Ampang, Syafiq Amil berkata dia mula bimbang setiap kali menyusun temuduga untuk pekerja baru. 

Katanya, sejak tahun 2017 dia sudah menemuduga lebih 10 orang calon untuk jawatan yang sama kerana mereka tidak kekal bekerja lebih daripada 18 bulan. 

Menurutnya, alasan yang diberikan oleh bekas-bekas pekerja adalah mereka hanya mahu mendapatkan pengalaman dalam bidang pemasaran sebelum mencuba nasib dalam kerjaya lain. 

"Ini memenatkan saya dan bahagian sumber manusia kerana banyak proses yang perlu dibuat setiap kali mengambil pekerja baru. Bukan semata-mata temuduga. 

"Kita perlu siapkan akaun baru, kelengkapan baru dan rekod baru dalam sistem untuk mereka yang baru mula berkerja. Semuanya perlukan kos dan tenaga. 

“Tapi mereka duduk di sini tak sampai setahun," katanya kepada MalaysiaNow. 

Sehingga kini, dia masih menerima pekerja yang bertukar-tukar pekerjaan terutamanya melibatkan mereka dalam usia 20-an. 

Kata Syafiq, kadang kala para majikan juga sukar menolak dan bersimpati kepada mereka yang muda untuk menceburi minat yang diimpikan. 

Atas sebab itu katanya, tidak menghairankan apabila banyak majikan merekrut pekerja asing atau mengupah pekerja bebas kerana tidak mahu digelar sebagai tempat kerja tumpangan oleh golongan tersebut. 

"Lebih baik mereka ceburi ekonomi gig seperti jadi penghantar makanan atau pemandu e-hailing yang boleh beri pendapatan stabil serta tidak terikat dengan kontrak kerja." 

Sokongan ibu bapa 

Dalam pada itu, Azimah berhenti kerja pada 2020 sebelum menyertai kakitangan kerajaan pada tahun ini menjadikan dia tidak bekerja selama lebih satu tahun. 

Ketika ditanya, apakah yang dia lalukan sepanjang tempoh itu untuk menyara diri? 

Azimah berkata dia mendapat sokongan kewangan dan emosi daripada kedua-dua ibu bapanya. 

Sepanjang perintah berkurung, dia tinggal bersama ibu bapanya di Johor Bharu dan mereka tidak pernah mendesaknya untuk mencari kerja. 

"Mereka juga memahami cara saya bertukar-tukar kerja kerana percaya dengan perancangan kerjaya saya sendiri. 

"Sekarang saya dah buktikan apa yang saya buat adalah tepat untuk masa depan." 

Sementara itu, salah seorang bekas majikan Azimah, perunding insurans dan takaful mahu dikenali sebagai Nurul Izzaty berkata sikap bertukar-tukar pekerjaan boleh menyebabkan individu tidak memandang serius kepada kerjaya sendiri. 

Katanya, setiap tahun seseorang pekerja perlu mempunyai diari atau rekod perancangan tentang hala tuju pencapaian dan sumbangan kepada syarikat. 

Sekiranya seseorang bertukar tempat kerja dalam tempoh kurang setahun, apakah penilaian yang digunakan untuk mengukur pencapaiannya sendiri? 

"Mereka jadikan kerja seperti pasangan kekasih. Dapat kenal latar belakang sedikit, mereka pun pergi. 

"Ini tidak boleh diamalkan atau jadi trend kerana pada akhirnya kita tidak tahu apa yang kita sudah capai. 

"Sekadar memenuhi resume nak tunjukkan kita banyak kerja. Pengalaman sebenarnya tiada." 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.