- Iklan -
Berita

Hantaran media sosial suami punca peguam Najib mahu ketua hakim tarik diri

Bekas perdana menteri itu dalam usaha akhir bagi mengenepikan sabitan dan hukuman penjara berhubung penyeleerngan dana SRC.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini.
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini.

Pasukan pembelaan Najib Razak memfailkan permohonan supaya Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri dalam pendengaran rayuan terakhir bagi mengenepikan sabitan dan hukuman penjara berhubung penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Perkembangan terbaru itu didengar pada prosiding rayuan akhir Najib bersambung hari ini selepas episod dramatik minggu lalu di mana peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik cuba menarik diri sebagai wakil bekas perdana menteri itu dengan alasan tidak cukup masa bagi menghadapi kes itu.

Bagaimanapun, panel lima hakim diketuai Tengku Maimun sebulat suara menolak permohonan Hisyam, mengatakan beliau gagal memberikan mengemukakan alasan yang cukup untuk permohonannya itu.

Hisyam kekal menjadi peguam Najib dalam rekod mahkamah walaupun enggan mengemukakan sebarang hujahan minggu lalu.

Bercakap di mahkamah hari ini, Hisyam berkata permohonan tersebut dikemukakan kepada mahkamah malam semalam.

Katanya, salinan permohonan juga turut diberikan kepada pihak pendakwaan.

Bagaimanapun pendakwa raya ad hoc V Sithambaram berkata pendakwaan tidak menerima sebarang salinan permohonan, dan prosiding bagi permohonan itu tidak boleh didengar sehingga pihak pendakwaan menerimanya.

Tengku maimun kemudiannya bertanya kepada Hisyam sama ada pihak pembelaan mempunyai sebarang hujahan rayuan utama di mana Hisyam berkata tidak ada.

Bagaimanapun, Hisyam berkata beliau ingin membalas hujah Sithambaram mengenai isu sama ada mahkamah boleh membuat keputusan tanpa mendengar hujahan pembelaan.

Tengku Maimun kemudian mengarahkan peguam itu agar menjawab hujah Sithambaram terlebih dahulu.

Namun Hisyam menggesa permohonan agar Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut didengar terlebih dahulu.

“Kamu sepatutnya berhujah mengenai enam autoriti yang digunakan oleh pihak pendakwaan bahawa mahkamah boleh membuat keputusan tanpa mendengar hujahan pihak pembelaan," kata Tengku Maimun.

Pada peringkat ini, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim mencelah dan berkata panel itu mahu mendengar hujahan balas pihak pembelaan terlebih dahulu.

"Kita di sini bukan untuk membuang masa," kata Tengku Maimun yang kemudian meminta kakitangan mahkamah mendapatkan dokumen berkaitan berhubung permohonan agar beliau menarik diri.

Menurut Reuters, permohonan Hisyam menyebut "bahaya berat sebelah yang nyata" berikutan ulasan media sosial yang dibuat oleh suami Tengku Maimun pada 2018 yang mengkritik Najib.

"Sebagai suami kepada pengerusi yang mengadili rayuan saya, kemungkinan besar dia akan mempengaruhi pemikiran pengerusi mengenai dakwaan bahawa saya bersalah," menurut permohonan Najib yang dilihat oleh Reuters.